Dijel kerana syor temanita curi ubat batuk di klinik

Berita Harian - - BERITA -

DISEBABKAN teman wanitanya memerlukan wang, seorang lelaki telah mencadangkan agar temannya itu mencuri dan menjual ubat batuk daripada klinik tempat dia bekerja.

Ho Min Pei, pelajar 23 tahun, yang ketika itu bekerja sambilan sebagai penyambut tamu di T P Sim Family Clinic and Surgery di Bishan Street 11, bersetuju dengan cadangan tersebut.

Yap Kailshen, 27 tahun, mengesyorkan kepada Ho agar menyerahkan botol ubat yang disalahgunakan kepadanya dan dia akan mencari pembeli.

Semalam, Yap dkenakan hukuman penjara selama empat bulan kerana menghasut Ho melakukan jenayah pecah amanah menggunakan 684 botol ubat batuk Dhasedyl bernilai $6,840 dari klinik antara Julai 2015 dengan Januari 2016.

Yap juga dijatuhi hukuman penjara tiga minggu, yang dijalankan secara serentak, kerana memiliki 24 botol cecair coklat yang mengandungi kodeina untuk dijual tanpa lesen pada 25 Januari 2016.

Kodeina, ubat penenang, mempunyai kesan sampingan termasuk rasa mengantuk, sakit perut, hilang selera makan, mual atau muntah, cirit-birit, pening, penglihatan kabur dan tinnitus (deringan di telinga).

Penggunaan yang berterusan boleh menyebabkan ketagihan dan telah dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

Menurut akhbar The Straits Times, pasangan itu bersetuju Ho menerima $25 daripada setiap jualan dan Yap akan menyimpan baki hasil jualan yang lain.

Menurut Yap, “nilai pasaran” ubat batuk terlarang di pasaran gelap adalah daripada $35 hingga $40, namun dia gagal menjelaskan dengan tepat berapa harga setiap botol yang dijualnya.

Ho diberhentikan kerja pada Januari tahun lalu. Dia telah menamatkan hukuman penjara tiga bulan.

Ho meraih keuntungan sekurangkurangnya $16,500.

Yap boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda kerana bersubahat dalam kes pecah amanah. Di bawah Akta Racun, dia boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

YAP KAILSHEN: Dikenakan hukuman penjara empat bulan. – Foto THE STRAITS TIMES

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.