Delegasi China, Korea S, Jepun lawat 3 stesen MRT

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

DELEGASI dari tiga negara rakan kerja dialog Asean – China, Jepun dan Korea Selatan – melawat tiga stesen MRT di Laluan Downtown 3 (DTL3) semalam.

Laluan itu dijangka mula beroperasi pada 21 Oktober ini.

Kunjungan tersebut merupakan sebahagian Mesyuarat Menteri Pengangkutan Asean yang bermula semalam.

Wakil khas ehwal antarabangsa bagi Kementerian Tanah, Prasarana, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Encik Masayoshi Isono, memimpin delegasi Jepun melawat stesen Bencoolen yang dibina oleh Sato Kogyo dengan menelan belanja $177.58 juta.

Pengurus besar kejuruteraan awam Sato Kogyo, Encik Hirotaka Onawa, membawa delegasi itu berjalan-jalan di stesen tersebut, yang siap dibina awal tahun ini.

Encik Onawa menarik perhatian beberapa cabaran kejuruteraan unik yang dihadapi syarikat Jepun itu semasa membina stesen Bencoolen yang sedalam 43 meter di bawah tanah – stesen MRT paling dalam di Singapura.

Stesen tersebut harus dibina sedalam itu disebabkan bangunan serta terowong MRT lain – termasuk bagi Laluan Circle (CCL) dan Laluan Utara-Selatan (NSL) – di atas DTL3.

Sementara itu, stesen paling dalam bagi stesen metro Tokyo, iaitu stesen Roppongi di laluan Toei Oedo, hanya 42.3 meter di bawah tanah.

Meskipun jalan raya Bencoolen Street ditutup selama lima tahun sepanjang stesen Bencoolen dibina, kerja binaan dijalankan dekat dengan bangunan di kawasan tersebut.

“Kami harus menggunakan banyak mesin dalam ruang yang amat sempit dan pada masa yang sama, mengekalkan daya penghasilan agar dapat menyelesaikan projek ini mengikut jadual,” kata Encik Onawa.

Dalam pada itu, delegasi dari China yang dipimpin Naib Menteri Pengangkutan negara itu, Encik Dai Dongchang, melawat stesen Kaki Bukit yang dibina oleh China State Construction Engineering Corporation, dengan menelan belanja $93.8 juta.

Delegasi Korea Selatan pula – yang dipimpin pengarah kerjasama antarabangsa dan divisyen perdagangan bagi Kementerian Tanah, Prasarana dan Pengangkutan negara itu, Encik Cho Seongkyun – melawat stesen Upper Changi yang dibina Samsung C&T Corporation, yang memenangi kontrak membina stesen tersebut dengan kos $256.98 juta.

LAWAT DTL3: Delegasi dari Korea Selatan berkunjung ke stesen DTL3 yang baru sebagai sebahagian Mesyuarat Menteri Pengangkutan Asean yang bermula semalam. – Foto LTA

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.