Parti Abe dijangka raih dua pertiga majoriti

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

TOKYO: Parti gabungan Perdana Menteri Shinzo Abe berkemungkinan besar meraih majoriti dua pertiga dalam pilihan raya yang menjelang, memandangkan parti baru yang diasaskan oleh gabenor Tokyo yang terkenal, Cik Yuriko Koike, kelihatannya semakin malap.

Ini berdasarkan dapatan satu tinjauan yang didedahkan semalam.

Parti Demokratik Liberal (LDP) yang konservatif dan sekutunya, Komeito, berkemungkinan memenangi sekitar 300 daripada 465 kerusi dalam pilihan raya yang bakal diadakan 22 Oktober ini, menurut tinjauan oleh Kyodo News dan harian perniagaan Nikkei.

Akhbar Yomiuri Shimbun berkata bahawa LDP dapat memperoleh majoriti yang stabil dengan sendirinya tanpa memerlukan pasangan koalisi.

Majoriti dua pertiga di Parlimen akan membolehkan Encik Abe meneruskan suatu pindaan ke dalam Perlembagaan Jepun.

Beliau telah mencanangkan perubahan kepada undang-undang yang dikenakan Amerika Syarikat bagi membolehkan pasukan pertahanan Jepun diubah kepada sebuah angkatan tentera penuh.

Sokongan untuk Party of Hope yang baru diasaskan oleh Encik Koike, yang telah mengubah landskap politik Jepun dan “menelan” pembangkang utama Parti Demokratik (DP), nampaknya semakin mengecil, dengan tinjauan meramalkan ia mungkin memenangi sekitar 60 kerusi.

Pakatan baru yang mengumpulkan anggota Parti Demokratik yang tidak melompat ke parti pimpinan Gabenor Tokyo itu pula diramal boleh meraih 40 kerusi, menurut kajian Yomiuri.

Selepas mendapat sokongan awal bagi Cik Koike, pengkritik menyatakan bahawa Gabenor Tokyo telah kecundang kerana tidak bertanding dalam pilihan raya.

Ini bermakna pengundi yang menyokong partinya tidak pasti siapa yang mereka bakal pilih sebagai Perdana Menteri.

Akhbar harian Asahi Shimbun menyatakan bahawa Encik Abe juga kelihatan mendapat sokongan akibat pembangkang yang berpecah-belah.

Kempen pilihan raya 12 hari, bermula Selasa lalu, akan memberi perhatian kepada hasrat menghidupkan semula ekonomi Jepun yang pernah menguasai dunia dan menangani ancaman Korea Utara.

Encik Abe yang mahu mendapatkan mandat bagi menerajui negara penggerak ekonomi Asia dan sekutu utama Amerika itu, tanpa disangka-sangka mengadakan pilihan raya bagi memanfaatkan kubu pembangkang yang lemah sekarang ini.

Tetapi, Cik Koike mencuri perhatian Encik Abe dengan melancarkan partinya, menyerang kerajaan Encik Abe kerana terlalu lambat mereformasi negara itu yang berdepan dengan cabaran penduduk semakin tua, deflasi dan hutang negara yang semakin menggunung. – AFP.

GIAT BERKEMPEN: Encik Shinzo Abe (berjaket biru) bertemu penyokongnya semasa berkempen di daerah Yaizu, wilayah Shizuoka, kelmarin. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.