Ustaz ditahan kerana kritik sultan berhubung dobi ‘halal’

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Zamihan Mat Zin, bakal dihadapkan ke lembaga tatatertib berhubung ceramahnya berkata berkaitan ‘dobi Muslim’, kata ketua pengarah jabatan itu.

Tan Sri Othman Mustapha berkata Ustaz Zamihan sudah dipanggil untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai menyataannya itu.

“Ceramah beliau yang telah dimuat naik dalam YouTube didakwa mengandungi unsur kritikan terhadap DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan Johor,” kata Tan Sri Othman dalam satu kenyataan lewat malam kelmarin.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Ustaz Zamihan ketika menyampaikan ceramah agama di masjid di Shah Alam Ahad lalu mengkritik Sultan Ibrahim Iskandar yang membidas tindakan sebuah kedai dobi di Muar yang tidak menerima pelanggan bukan Islam.

Ustaz Zamihan dipercayai turut menyentuh isu berbaur perkauman yang dikaitkan dengan kedai dobi itu.

Sultan Ibrahim pada 27 September lalu mengarahkan kedai dobi tersebut menghentikan dasar kontroversi itu atau berdepan risiko ditutup.

Kes pemilik kedai dobi di Muar itu juga mendapat teguran dan komen beberapa pemimpin Malaysia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Satu kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu baru-baru ini menyokong Sultan Ibrahim dan juga Tengku Mahkota Perlis, yang juga mengarahkan sebuah dobi di negeri itu supaya menghentikan dasarnya hanya menerima pelanggan Muslim.

Kenyataan itu turut menegur tindakan individu tertentu yang sejak kebelakangan ini “bersifat keterlaluan, dibimbangkan boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum”.

Tan Sri Othman berkata Ustaz Zamihan, yang juga presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), seorang pegawainya yang berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri dan ditempatkan di Penjara Kajang.

Bagaimanapun, Ustaz Zamihan, yang ditahan polis petang kelmarin, menyatakan beliau sudah tidak lagi bertugas bersama Jakim sejak 13 tahun lalu.

Ustaz Zamihan menafikan beliau mengkritik Sultan Johor, sambil berkata beliau tidak menyebut nama beliau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata Ustaz Zamihan sedang ditahan bagi hasutan dan pihaknya akan cuba mendapatkan perintah reman daripada mahkamah untuk menjalankan siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Akta Hasutan, kata Datuk Seri Wan Ahmad.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, juga berkata kementeriannya akan menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan segera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya menerima sekurang-kurangnya satu laporan polis sejak kelmarin terhadap Presiden Aswaja itu. – The Malay Mail, Sinar Harian.

USTAZ ZAMIHAN: Juga didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman mengenai masyarakat Cina. – Foto THE STAR/ASIA NEWS NETWORK

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.