Kursus buat biskut dan pencuci mulut

Berita Harian - - KELUARAN KHAS PENDIDIKAN - JULIANA SHARMINE RIDUAN

INSTITUT Kulinari SSA sedang menawarkan kursus Kemahiran Tenaga Pekerja (WSQ) Simple Cookies dan Refreshing Desserts.

Melalui kelas WSQ Simple Cookies, peserta akan mempelajari cara-cara membuat dan menghias biskut cip coklat, lemon cheese, viennese serta gingersnap manakala di kelas WSQ Refreshing Desserts pula mereka akan diajar cara-cara menyediakan pencuci mulut seperti sagu tembikai susu atau honeydew sago, lengkong badam atau almond jelly, kacang merah dengan biji teratai serta kulat putih dengan kacang gingko dan badam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Consulting Group, Encik Suhaimi Salleh, kursus-kursus tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peserta meningkatkan diri dan mempelajari kemahiran baru malah memberi galakan bagi suri rumah untuk mempertimbang kemungkinan menjadi usahawan kecil dengan berniaga daripada rumah.

“Kursus sebegini juga dapat membina keyakinan diri,” tambah Encik Suhaimi.

Malah, beberapa peserta kursus SSA Consulting Group juga telah memulakan perniagaan daripada rumah.

Kursus WSQ Simple Cookies dan Refreshing Desserts dibuka kepada semua rakyat Singapura, penduduk tetap dan warga asing. Rakyat Singapura yang berusia 25 tahun ke atas boleh menggunakan kredit SkillsFuture bagi kedua-dua kursus itu.

Kursus-kursus kendalian tukang masak yang terlatih dan bertauliah di bawah bimbingan Cef Siti Mastura Alwi itu akan dijalankan di Institut Kulinari SSA di 10 Arumugam Road.

Yuran bagi kursus WSQ Simple Cookies bermula daripada $30 manakala yuran bagi kursus WSQ Refreshing Desserts pula bermula daripada $48. Harga yuran itu tertakluk pada terma dan syarat.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua kursus itu di talian 6632-9433 dan laman www.ssaculinary.institute. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan melalui emel contact@ssagroup.com.

KURSUS MASAK KUIH: Peserta kursus Kemahiran Tenaga Pekerja

(WSQ) Simple Cookies bersama Cef Siti Mastura Alwi (tiga dari kiri). – Foto SSA CONSULTING GROUP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.