Program melancarkan bacaan Al-Quran

Berita Harian - - KELUARAN KHAS PENDIDIKAN -

KEINGINAN untuk khatam Al-Quran dengan berguru dalam masa singkat, mengetahui asas tajwid, memahami isi Al-Quran yang dibaca, dapat melagukan bacaan dan ingin menjadi penghafal sebenarnya wujud dalam diri masyarakat Islam.

Namun, kesibukan dengan tugas harian kadang kala menjadi penghalang untuk mendalami ilmu Al-Quran dan ilmu yang bekaitan dengannya.

Melihat ada yang tidak lancar membaca Al-Quran, ada yang lancar tetapi lemah dalam hukum hakam tajwid, ada yang belum pernah khatam dan ada juga pernah khatam tetapi tanpa berguru, maka Pusat Pengajian ZAG (Al-Quran Wal Qiraat) dengan kerjasama Unit Kolaborasi, Bahagian Korporat, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan, Malaysia, merangka Kem Al-Quran 5T bagi membantu kumpulan itu mempertingkat ilmu Al-Quran.

Kem Al-Quran 5T akan diadakan pada 17 hingga 24 Novermber ini. Ia akan dijalankan dalam tempoh 45 jam pengajian yang memakan masa selama enam hari berlangsung di Tok Aman Bali, Bachok, Kelantan.

Beberapa objektif bagi kem ini ialah peserta dapat melancarkan sebutan huruf, mengetahui hukum asas dalam ilmu tajwid dan menambah baik mutu pembacaan. Pengajian secara intensif daripada awal pagi sampai malam setiap hari sepanjang kem amat sesuai kepada mereka yang ingin mempelajari Al-Quran di peringkat asas.

Selain bacaan, kem ini juga memberi peluang kepada peserta mengikuti tafsir Al-Quran surah pilihan bagi tujuan memahami isi kandungan ayat-ayat yang dibaca serta dapat mengambil pelajaran. Manakala peserta yang bercita-cita menjadi penghafal Al-Quran juga amat sesuai mengikuti kem ini apabila mereka didedahkan dengan tips hafalan dan dibimbing oleh guru tahfiz berpengalaman.

Peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang dibimbing oleh fasilitator terdiri daripada guru Al-Quran. Setiap kumpulan terdiri daripada tiga orang peserta dan dibimbing oleh seorang guru yang akan menyemak bacaan peserta.

Pusat pengajian ini juga menawarkan talaqqi secara individu apabila seorang guru akan membimbing seorang peserta bermula awal program hingga akhir program.

Bagi memenuhi kehendak semasa juga, pusat ini menawarkan Talaqqi Qiraat Al-Quran Bersanad di kem tersebut di mana peserta akan membaca Al-Quran dari awal hingga khatam dan dibimbing oleh guru bersanad.

Untuk penyertaan Program Kem Al-Quran 5T ini bolehlah menghubungi Cik Zainab 9737-2656.

PUSAT PENGAJIAN ZAG: Kem Al-Quran 5T (Talaqqi, Tajwid, Tahfiz, Tadabbur, Tarannum). – Foto PUSAT PENGAJIAN ZAG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.