Pergas tawar program sarjana hasil kerjasama dengan universiti M’sia

Berita Harian - - KELUARAN KHAS PENDIDIKAN -

PERSATUAN Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (UIAM) bagi program sarjana di bawah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (KIRKHS).

Program KIRKHS, UIAM itu menawarkan tiga program Sarjana iaitu Sarjana dalam Usul Ad-Din dan Perbandingan agama, Sarjana dalam Al-Quran dan Sunnah, Sarjana dalam Fiqh dan Usul Fiqh.

Pergas berkata kerjasama ini juga memberi langkah ke hadapan bagi mengeratkan hubungan dua hala yang sedia ada serta membuka ruang bagi pelajar lepasan Sarjana Muda dalam bidang pengajian Islam menyambung pengajian ke peringkat sarjana UIAM.

Ini secara tidak langsung dapat meluaskan lagi peluang mereka yang berminat mendalami pembelajaran ukhrawi atau agama di masa hadapan, ujar kenyataan Pergas.

MOA itu telah ditandatangani pada 29 Mei lalu di Bangunan Rektor UIAM, Gombak, Malaysia.

Turut hadir bagi upacara itu adalah Ustaz Muhammad Zahid Zin, Naib Presiden Pergas; Ustazah Nurul Izzah Khamsani, Ahli Kehormat Pergas; Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, Pengarah Eksekutif Pergas; Ustazah Nazrana Haniff, Ketua Jabatan Pendidikan Islam, Pergas.

Manakala dari UIAM pula ialah Profesor Dato’ Sri Dr Zaleha Kamarudin, Rektor UIAM; Profesor Dr Abdelaziz Berghout, Timbalan Rektor Jabatan Internalisasi dan Perhubungan Masyarakat, UIAM; Profesor Dr Professor AAhad M. Osman-Gani, Dekan IIUM-CRESCENT; Profesor Dr Rahmah Ahmad H. Osman, Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan. Prof Madya Dr Badri Najib Zubir, Pengarah, IIUM-CRESCENT serta beberapa kakitangan utama Pergas dan UIAM.

Pergas merupakan institusi tempatan yang pertama menjalankan program sarjana UIAM di Singapura.

Program Sarjana itu disasar kepada asatizah dan juga kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian peringkat sarjana setelah selesai pengajian sarjana muda dan juga individu yang ingin meningkatkan pengajian mereka ke tahap lebih tinggi.

Sejauh ini, Pergas telah berjaya mengeluarkan sekitar 70 graduan daripada program Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan, UIAM sejak ia mula ditawarkan pada tahun 2006.

Ini adalah program ke tahap selanjutnya bagi yang ingin meneruskan pengajian mereka.

Butiran lanjut mengenai pengajian boleh didapati di laman www.ipip.sg atau dengan menghubungi Muhammad Hasan Masnin atau Muhammd Zahir Zin di talian 6346 -9351.

Keterangan lanjut juga boleh didapatkan dengan menghantar e-mel ke hasan@pergas.org.sg atau zahir@pergas.org.sg.

METERAI PERJANJIAN: Naib Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Zahid Zin dan Profesor Dato’ Sri Dr Zaleha Kamarudin dari UIAM menandatangani Memorandum Perjanjian di Bangunan Rektor UIAM, pada 29 Mei lalu. – Foto PERGAS

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.