Syukur anak mahir baca dek program

Berita Harian - - KELUARAN KHAS PENDIDIKAN -

SEPANJANG lima tahun Cik Sali (bukan nama sebenar) meringkuk dalam penjara, anak bongsunya mengunjunginya sekali sahaja.

Ini kerana anaknya itu masih kecil, baru berusia 18 bulan, apabila beliau dipenjarakan pada 2010 atas kesalahan mengedar dan menyalah guna dadah.

Tiga lagi anaknya berusia 10 tahun dan ke bawah pada waktu itu. Empat adik-beradik itu dijaga ibu saudara mereka sedang ibu dan bapa mereka menjalani hukuman penjara.

“Masa saya dalam penjara, anak saya yang kecil selalu tanya adik-beradiknya tentang saya. Dia tanya, bagaimana muka saya, di mana saya berada,” cerita Cik Sali, 52 tahun.

Mujur ada pertubuhan New Life Stories, yang menyediakan program sejak 2014 bagi menyokong pendidikan prasekolah anak banduan wanita melalui sesi bercerita.

Di bawah program itu, sukarelawan membaca buku cerita bersama anak itu sekali seminggu selama sekurang-kurangnya dua tahun.

Sukarelawan juga merakam suara ibu mereka di penjara membaca buku buat anak mereka.

“Saya syukur ada program New Life Stories kerana ia memberi anak saya peluang dengar suara saya. Saya pula dapat mendengar berita tentang anak saya melalui sukarelawan.

“Walaupun saya tak dapat jumpa mereka, setakat mendengar berita tentang mereka sudah cukup membuat hati saya tenang,” kata Cik Sali, yang tidak dapat bekerja disebabkan masalah kesihatan.

Di bawah program itu juga, Cik Sali berpeluang menulis buku cerita khas buat anaknya, berjudul Hungry Fina. Buku cerita itu mengandungi pesanan buat anaknya agar mengongsi makanan sesama mereka.

Cik Sali turut gembira melihat anak-anak perempuannya yang kini berusia 10 dan 9 tahun mahir membaca dalam bahasa Inggeris, hasil bimbingan sukarelawan yang membaca dengan mereka setiap minggu.

Program New Life Stories turut menyokong ibu di penjara dengan menganjurkan bengkel bagi membangun kebingkasan dan kesedaran diri mereka.

Hari ini, Cik Sali, yang menetap di flat sewa dua bilik di Boon Lay, berharap beliau tidak kembali terjerumus dalam kancah dadah dan dapat memberi sepenuh perhatian pada anaknya.

“Harapan saya ialah saya dapat hidup normal seperti orang biasa. Saya mahu anak saya membesar menjadi manusia elok dan berjaya, bukannya ikut jejak langkah saya.

“Kalau anak saya berjaya, saya rasa nanti nama saya dan suami akan dapat dibersihkan. Cuma anak yang dapat menolong saya,” kata Cik Sali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.