Atlit terpantas Sukan SEA latih di Jerman bagi kejohanan dunia

Berita Harian - - SUKAN -

KUALA LUMPUR: Pelari terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, akan menjadikan Mannheim di Jerman sebagai pangkalan latihan untuk membuat persediaan menghadapi Kejohanan Atletik Dalam Dewan Dunia 2018, yang jaguh Malaysia itu bakal sertai buat kali pertama.

Khairul Hafiz layak menyertai kejohanan itu secara merit selepas memenangi pingat emas perlumbaan pecut 100 meter Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.

Dikenali dengan julukan ‘Speedy Jantan’, atlit kelahiran Melaka berusia 19 tahun ini melintasi garisan penamat perlumbaan 100 meter itu dalam masa 10.38 saat.

Khairul Hafiz, yang turut memegang rekod Malaysia bagi acara 100 meter, dijadualkan menjalani latihan selama sebulan di Jerman mulai Februari depan dan selepas itu akan terus ke Birmingham, England, untuk beraksi dalam kejohanan dunia pada Mac.

Jurulatihnya, Mohd Poad Kassim, berkata ini adalah kali pertama Khairul Hafiz akan menyertai kejohanan dalam dewan menerusi acara 60 meter.

“Lokasi latihan di Mannheim ini juga adalah tempat yang sama Khairul Hafiz berlatih sebelum Kejohanan Atletik Remaja Dunia di Poland pada 2016.

“Latihan di sana pastinya lebih baik selain tidak jauh dengan tempat kejohanan yang bakal disertai oleh Khairul Hafiz di Birmingham dan selepas itu ke Australia untuk Sukan Komanwel.

“Latihan di Jerman itu juga bukan sekadar untuk menghadapi kejohanan dunia tetapi untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif oleh 100PLUS kelmarin.

Dalam majlis tersebut Khairul Hafiz dan atlit badminton, Goh Jin Wei, masing-masing menerima insentif sebanyak RM10,000 di atas kecemerlangan yang dilakar dalam sukan disertai mereka.

Sementara itu, Khairul Hafiz berkata penyertaan dalam kejohanan di Birmingham akan menjadi satu pengalaman baru baginya, justeru fokusnya adalah melakukan yang terbaik untuk negara.

“Saya amat teruja dapat menyertai acara 60 meter... pastinya satu pengalaman yang menarik kerana sebelum ini saya (hanya) bersaing dalam acara 100m.

“Saya juga berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai pada tahun depan,” katanya. – Utusan Online.

TONIK PERANGSANG: Juara perlumbaan 100 meter Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan, menerima insentif daripada F&N kelmarin bagi kecemerlangannya di temasya sukan dwitahunan itu Ogos lalu. - Foto UTUSAN ONLINE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.