Kenali lebih mendalam adat masyarakat Bugis di Taman Warisan Melayu

Berita Harian - - SUKAN - SITI AISYAH NORDIN

APABILA menyebut tentang Bugis di Singapura, pastinya terlintas di fikiran stesen MRT Bugis, Bugis Junction dan Bugis Village.

Namun, tidak ramai yang tahu kisah di sebalik nama ‘Bugis’ tersebut atau mengenali dengan lebih mendalam masyarakat Bugis, identiti, tradisi serta adat mereka.

Tahun ini, acara tahunan Taman Warisan Melayu (TWM), Malay CultureFest 2017, memaparkan dan memperkenal pelbagai aspek kehidupan masyarakat Bugis yang mungkin tidak sering didengar atau dikenali.

Dengan ‘Adat’ sebagai tema utama, CultureFest tahun ini, yang berlangsung selama dua minggu mulai hari ini hingga 28 Oktober, akan meneroka cara-cara berbeza adat dibentuk ke dalam kehidupan masyarakat Bugis, melalui bukan sahaja amalan tradisional, malah interpretasi moden.

Pameran khas bertajuk Sirri Na Pesse: Navigating Bugis Identities in Singapore Community pula meneroka pelbagai cara seseorang yang berketurunan Bugis menyerlahkan identiti mereka.

Ia memaparkan beraneka artifak unik yang kebanyakannya diperolehi daripada anggota masyarakat Bugis di Singapura.

Kurator TWM, Cik Suhaili Osman, berkata tujuan utama pameran tersebut, yang juga merupakan sebahagian daripada siri SeNusantara oleh TWM, adalah mendalami setiap masyarakat etnik berbeza yang membentuk masyarakat Melayu di Singapura secara keseluruhan.

“Kami telah bekerjasama dengan masyarakat Bugis di Singapura untuk menghasilkan pameran ini, dan sebanyak mungkin ingin memaparkan pengalaman serta kisah mereka sendiri.

“Untuk itu, banyak barang peribadi yang kami perolehi daripada mereka, disertai kata-kata individu itu sendiri,” kata Cik Suhaili.

Beliau berharap agar anggota masyarakat Bugis yang mengunjungi pameran tersebut dapat memahami dengan lebih mendalam asal usul tradisi serta budaya mereka.

Cik Suhaili menambah: “Saya juga berharap mereka faham bahawa dalam masyarakat Bugis itu sendiri terdapat kepelbagaian.

“Bagi mereka yang bukan berketurunan Bugis, saya harap mereka dapat melihat bahawa terdapat kisah dan sejarah di sebalik terbinanya Bugis Junction atau Bugis Village di Singapura.”

Selain itu, pelbagai program termasuk persembahan, ceramah, bengkel dan tayangan filem turut diadakan selari dengan tema dan tajuk CultureFest tahun ini.

Antara tarikan tahun ini termasuk Lintas Nusantara, festival tarian yang memaparkan gaya tarian dari Jawa, Sulawesi dan Kepulauan Riau.

Selain itu, orang ramai juga boleh turut serta melibatkan diri dalam acara Senandung Sukma, yang memberi tumpuan kepada genre muzik asli dan turut melibatkan persembahan yang merupakan kerjasama antara penari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Persembahan teater bertajuk Malam Puteri-Puteri Malang turut diadakan. Ia akan memaparkan kisahkisah tragis yang menekankan pentingya adat dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu.

Pengurus program TWM, Encik Jamal Mohamad, berharap dapat menambah pengetahuan orang ramai mengenai sumbangan masyarakat Bugis kepada pembangunan Singapura.

“Semakin ramai anggota masyarakat Melayu yang ingin menjejak semula keturunan serta warisan budaya mereka, dan saya rasa ini merupakan keinginan yang baik.

“Namun, bagi masyarakat umumnya saya ingin mereka ingat bahawa terdapat sebab mengapa wujudnya stesen MRT Bugis dan pusat beli-belah yang dinamakan sempena masyarakat Bugis. Ia kerana sumbangan masyarakat tersebut kepada pembangunan Singapura,” kata Encik Jamal.

Orang ramai dialu-alukan menghadiri pelancaran acara itu hari ini yang dimuatkan dengan persembahan tarian, muzik dan juga sejarah masyarakat Bugis di TWM mulai 8 malam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.