Ekon SG lonjak 4.6% suku ketiga

Berita Harian - - MUKA DEPAN - ATIYYAH MOHD SAID

EKONOMI Singapura tumbuh 4.6 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus merupakan pertumbuhan tertinggi dalam masa tiga tahun.

Kadar pertumbuhan itu, yang melebihi jangkaan para pengamat – kenaikan 3.8 peratus – telah didorong oleh sektor pengilangan, menurut ramalan awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) semalam.

Pada suku sebelumnya, ekonomi negara menunjukkan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan, iaitu 2.9 peratus.

Kali terakhir ekonomi mencatatkan kelakonan baik adalah pada suku pertama 2014 – 4.9 peratus.

Menurut kenyataan MTI, sektor pengilangan berkembang sebanyak 15.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, lebih rancak berbanding 8.2 peratus pada suku sebelumnya.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Kajian Forex, Pasaran Global, Perbankan Global, Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat, menjelaskan bahawa kadar pertumbuhan tersebut mengejutkan para pengamat.

“Enjin pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga adalah sektor pengilangan dan perkhidmatan. Perangkaan menunjukkan bahawa peningkatan sektor pengilangan didorong oleh peningkatan kukuh dalam kelompok elektronik, pengilangan biomedikal dan kejuruteraan jitu.

“Sektor perkhidmatan pula disokong kewangan dan insurans, dagangan runcit dan borong serta sektor pengangkutan dan simpanan,” terangnya.

Pada Ogos lalu, pemerintah mengecilkan ramalan pertumbuhan ekonomi kepada antara 2 peratus dengan 3 peratus – berbanding ramalan awal antara 1 peratus dengan 3 peratus.

Bagi sepanjang tahun ini, para pengamat ekonomi swasta yang ditinjau bank pusat Singapura telah meramalkan pertumbuhan 2.5 peratus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.