Kriteria Anugerah Dana Masyarakat diubah galak sumbangan lebih holistik

Berita Harian - - BERITA -

KRITERIA Anugerah Dana Masyarakat akan diubah mulai tahun depan bagi menggalak sumbangan lebih holistik yang melebihi pendermaan wang.

Anugerah pada 2018 akan turut mengambil kira amalan inklusif di tempat kerja serta pihak yang menyumbangkan masa dan kemahiran bagi memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan, kata pengerusi Dana Masyarakat, Encik Phillip Tan, dalam ucapannya di majlis penyampaian Anugerah Dana Masyarakat di Istana semalam.

Buat masa ini, Anugerah Dana Masyarakat diberikan kepada pertubuhan dan individu berdasarkan nilai sumbangan kewangan mereka.

“Selaras dengan keperluan masyarakat kita yang berubah, kita perlu melihat bagaimana wang, masa dan peluang boleh diberikan dalam cara yang lebih bermakna dan lebih holistik.

“Banyak rakan kongsi kami sedang melibatkan diri dalam pemberian dan kegiatan sukarela yang holistik dan kami sedar bahawa kriteria Anugerah Dana Masyarakat perlu dipertingkat bagi mengiktiraf contoh cemerlang bagi penjagaan dan pemberian holistik,” ujar Encik Tan.

Perubahan kriteria itu selaras dengan inisiatif Tunggak Strategik Sektor Khidmat Sosial (4ST) yang dilancarkan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) awal tahun ini.

Rancangan strategik itu bertujuan memperkasa setiap warga supaya hidup secara bermaruah dalam masyarakat yang inklusif, dengan Dana Masyarakat memainkan peranan memadankan syarikat privet dan pertubuhan khidmat sosial dengan golongan yang memerlukan.

Sejumlah 406 anugerah diberikan semalam kepada penderma utama yang menyumbang hampir $35 juta kepada Dana Masyarakat pada 2016.

Sejumlah 56 anugerah itu disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob yang juga Ketua Penaung NCSS dan Dana Masyarakat, serta tetamu khas, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam pada itu, usaha sama NCSS dan Dana Masyarakat menggalak sukarelawan menyumbang masa kepada pertubuhan khidmat sosial secara tetap telah membantu kedua-dua pertubuhan itu mencatat rekod 139 kegiatan sukarela, kata Dana Masyarakat melalui kenyataannya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Encik Tan turut mendedahkan bahawa kadar mereka yang menjadi sukarelawan di Singapura telah meningkat seganda daripada 18 peratus pada 2014 kepada 35 peratus tahun lalu.

“Mengetahui bahawa lebih ramai orang kini menjadi sukarelawan adalah amat menggalakkan. Melangkah ke hadapan, soalannya adalah bagaimana kita menggalakkan lebih ramai lagi menyumbang masa dengan cara lebih bermakna,” kata Encik Tan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.