Mahathir bakal semuka 30 tahanan ISA semasa pentadbirannya

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan bersemuka dengan 30 tahanan Ops Lalang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam sebuah forum di George Town, Pulau Pinang, pada 28 Oktober, lapor The Malaysian Insight semalam.

Forum anjuran Institut Pulau Pinang itu akan menampilkan bekas tahanan, ahli keluarga mereka dan Dr Mahathir.

“Ini akan sedikit sebanyak menyelesaikan apa-apa yang masih terbuku tentang apa yang dikatakan penangkapan terbesar ahli politik, aktivis dan ahli akademik di negara ini,” kata seorang ahli jawatankuasa penganjur yang enggan namanya didedah.

Pada 27 Oktober 1987, 106 orang ditahan tanpa bicara atas apa yang disifatkan oleh pentadbiran Mahathir ketika itu sebagai tindakan menghalang rusuhan kaum.

Tangkapan terbesar menggunakan ISA sebelum itu ialah selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Forum itu juga akan membincangkan apakah undang-undang yang menekan, seperti ISA, yang telah digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, masih relevan di Malaysia.

Selain Dr Mahathir, forum itu akan menampilkan pengerusi Bersih 2.0, Cik Maria Chin Abdullah; penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang; dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Encik Yunus Ali, arwah suami Cik Maria, dan Encik Lim antara mereka yang ditahan di bawah Ops Lalang.

Encik Yunus ketika itu baru balik dari Britain selepas sempat berjuang bersama Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Beliau juga aktivis semasa di Universiti Malaya.

Encik Lim pula setiausaha agung DAP dan Ahli Parlimen Tanjong.

Bapa Dr Mujahid, Encik Yusuf Rawa, presiden PAS dari 1982 hingga 1989, antara yang melobi agar tahanan ISA berkenaan dibebaskan.

Menurut ahli akademik, Ops Lalang muncul ketika ada ketegangan etnik di Malaysia selepas Kementerian Pendidikan melantik 100 penolong kanan dan penyelia di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Ini menimbulkan bantahan pada 11 Oktober 1987 oleh kumpulan pendidikan CinaDong Jiao Zong, dengan Persatuan Cina Malaysia (MCA), dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa memboikot tiga hari di sekolah Cina.

Walaupun boikot itu kemudiannya dibatalkan, Pemuda Umno, yang ketika itu diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri kebudayaan, belia dan sukan ketika itu dan kini perdana menteri, mengadakan rapat umum di Kampung Baru pada 17 Oktober, menggesa peletakan jawatan Encik Lee Kim Sai, timbalan presiden MCA, parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Kemuncak hari-hari yang meresahkan itu ialah satu kejadian amuk yang tidak ada kaitan dengan isu tersebut. Prebet Ada Jaafar, 23 tahun, mencuri senjata di sebuah kem tentera di Ipoh dan mengamuk di Chow Kit, Kuala Lumpur, membunuh seorang dan mencederakan dua orang lain.

Dr Mahathir, perdana menteri merangkap menteri dalam negeri ketika itu, dikatakan meluluskan penangkapan Ops Lalang selepas berdepan masalah dalam Umno setelah menang tipis dalam pemilihan jawatan presiden.

Empat hari selepas penangkapan besar-besaran itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik lesen empat akhbar – The Star dan Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan.

Walaupun semua akhbar itu dapat semula lesen mereka pada 22 Mac 1988, aktivis media berkata kebebasan media tidak lagi serupa.

Dalam sebuah buku bertajuk Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad pada 2011 yang ditulis oleh seorang wartawan Amerika Syarikat, Encik Tom Plate, mantan perdana menteri itu berkata polis yang mengambil tindakan terhadap mereka dan beliau menerima keputusan itu. – Agensi berita.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD: Bakal hadir di forum di George Town, Pulau Pinang, pada 28 Oktober yang menampilkan bekas tahanan Ops Lalang. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.