Kedai buku ‘Popular’kan bahasa Melayu

Berita Harian - - GAH! -

SEJAK buku Melayu dilancarkan di kedai buku Popular, syarikat itu telah melakukan usaha berterusan mempromosikan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu.

Buku Melayu kini dijual di tujuh cawangan Popular termasuk di Bedok Mall, Causeway Point, Jurong Point, Lot One, Northpoint, One KM dan Tampines Mall.

Sementara itu, pada tahun ini, buat julung-julung kalinya Popular telah melancarkan Pertandingan Bacaan Kreatif Melayu Kebangsaan dalam usaha memupuk minat membaca dan bertutur dalam bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Peringkat awal pertandingan akan diadakan di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 4 dan 5 November ini.

Peringkat akhirnya pula akan diadakan sempena Pesta BookFest@Singapore 2017, di Dewan Konvensyen 401 - 406 pada 18 Disember ini.

Popular menggesa ibu bapa dan guru agar menggalak golongan muda menyertai pertandingan tersebut.

Pertandingan itu akan meliputi sesi bercerita secara kreatif, yang merupakan antara kegiatan menarik.

Ia satu platform sesuai bagi pelajar memaparkan kreativiti dan bakat mereka kepada orang ramai di atas pentas dengan bertutur dalam bahasa Melayu.

Pendaftaran ditutup pada 20 Oktober ini.

Dalam satu kenyataannya, Popular berkata pihaknya akan terus memainkan peranan aktif dalam menggalak dan mempromosikan bahasa Melayu, meskipun di luar Bulan Bahasa.

Melentur buluh biarlah dariapda rebungnya.

Berpegang pada peribahasa itu, Popular akan mengagihkan baucar tunai bernilai lebih $6,000 kepada semua sekolah rendah di Singapura.

“Para guru di sekolah-sekolah rendah boleh menjangkakan surat yang akan dikirimkan kepada mereka lewat Oktober ini.

“Sekolah boleh mencalonkan sehingga 10 pelajar peringkat rendah yang paling cemerlang untuk menerima baucar itu.

Dalam kenyataan itu juga, Popular menyatakan bahawa mereka akan terus meningkatkan usaha menggalak masyarakat membaca lebih banyak buku Melayu.

Dalam tahun-tahun mendatang, kami harap dapat menganjurkan lebih banyak kegiatan bagi semua peringkat usia dan menyatukan semua masyarakat Melayu serta menggalak tabiat suka membaca.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.