Juara ditentukan malam ini

Berita Harian - - GAH! - ERVINA MOHD JAMIL

SIAPAKAH artis yang bakal menjulang trofi di acara gemilang Anugerah Planet Muzik (APM) tahun ini?

Jawapannya akan diketahui malam ini di acara anjuran saluran televisyen Mediacorp Suria serta stesen radio Ria 89.7FM dan Warna 94.2FM, yang bakal berlangsung di Teater MES, Mediacorp.

Senarai pencalonan APM 2017 antara lain memaparkan generasi artis muda yang lebih menyerlah dalam media sosial dengan lautan peminat.

Antara mereka termasuk dua bakat muda setempat, Nurul Isnina Mohamed Isnin dan Iyaad Salleh.

Meskipun nama dan wajah mereka belum terpahat di minda sebilangan pengamat muzik tanah air, kedua-duanya mula menyerlah di media sosial.

Masing-masing menerima dua pencalonan dalam dua kategori, Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik (Singapura).

Mengulas perkembangan baru dunia muzik semasa sidang media APM sebelum ini, Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Cik Zakiah Halim, berkata pihaknya berharap APM akan berkembang sejajar dengan tuntutan semasa.

“Apa yang lebih menarik tahun ini ialah kita kian menyaksikan kemunculan generasi baru artis muda yang lebih menyerlah di wadah digital dan media sosial dengan jumlah besar pengikut.

“Awalnya kita mungkin tidak sedar atau tahu siapa mereka, tetapi nama mereka tiba-tiba menjadi sebutan dengan karya bermutu yang disajikan lagi mampu menarik perhatian ramai,” ujar Cik Zakiah.

Sementara itu, penyanyi tanah air, Aisyah Aziz, 23 tahun, pula mendapat pencalonan dalam sembilan kategori, dengan dua lagu – Tanda Tanya dan Senyum Saja (bersama Haikal Ali) – yang menjadi taruhan Aisyah bagi majlis penyampaian anugerah serantau penuh gilang-gemilang itu.

Ia juga bermakna bintang program realiti Akademi Fantasia 2013 itu menerima pencalonan paling banyak daripada 19 kategori yang dipertandingkan di APM tahun ini.

Jelitawan tinggi lampai itu antara lain dicalonkan juga dalam kategori Duo/Kumpulan Terbaik, Kolaborasi Terbaik (Lagu), Artis Terbaik (Wanita), Lagu Terbaik (Singapura), Ikon Media Sosial, Artis Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular APM dan Artis Paling Popular APM.

Dalam pada itu, penyanyi Ayda Jebat dari Malaysia bakal membuat persembahan pembukaan bagi anugerah berpestij itu malam ini.

Ayda antara lain mendapat pencalonan dalam kategori Kolaborasi Lagu Terbaik bagi lagu Nakal Nakal Nakal, Ikon Media Sosial, Lagu Paling Popular APM bagi Nakal Nakal Nakal dan Artis Paling Popular APM.

AISYAH AZIZ: Penyanyi Singapura ini mendapat pencalonan dalam sembilan kategori bagi dua lagu. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.