Artis Korea kuasai bahasa Inggeris demi peminat

Berita Harian - - GAH! -

APABILA selebriti Korea seperti Kim Soo Hyun, Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook menemui peminat di Singapura, mereka menggunakan khidmat penterjemah.

Khidmat itu membolehkan mereka berinteraksi secara lebih berkesan.

Tidak ramai bintang K-Pop fasih berbahasa Inggeris. Selebriti yang mampu melakukannya pula lazim berdarah kacukan Amerika-Korea.

Namun, menurut laporan majalah Cleo Singapore, lebih ramai selebriti Korea kian berusaha mengasah kemahiran bertutur dalam bahasa antarabangsa itu.

Kemahiran itu bukan sahaja bertujuan memperluas peluang kerjaya, malah membolehkan mereka berkomunikasi dengan peminat di seluruh dunia.

Ada antara mereka begitu fasih bertutur bahasa Inggeris sehingga dianggap pencapaian besar, memandangkan mereka tidak belajar bahasa itu sejak kecil.

Ini ekoran larangan pemerintah Korea yang hanya membolehkan warga belajar bahasa Inggeris pada darjah tiga.

Sebabnya? Mereka percaya bahawa langkah mendedahkan kanak-kanak kepada bahasa asing dalam usia muda akan mengikis asas bahasa dan budaya Korea.

Berikut antara selebriti lelaki Korea yang fasih bertutur bahasa Inggeris:

1) GONG YOO

Walaupun tidak pernah belajar di luar negara, pelakon ini fasih berbahasa Inggeris.

Malah, beliau mengendalikan rancangan radio semasa berkhidmat dengan angkatan tentera Korea. Beliau juga mengajar bahasa Inggeris asas berdasarkan pelbagai senario.

Pelakon yang membintangi drama Goblin itu turut mengagumkan ramai apabila menjayakan wawancara BBC dalam bahasa Inggeris penuh.

2) LEE BYUNG HYUN

Dalam wawancara sebelum ini, pelakon itu berkata beliau mula belajar bahasa Inggeris semasa kecil kerana saudara-maranya tinggal di Amerika.

Apabila beliau muncul buat kali pertama dalam filem Hollywood, beliau mengasah kemahiran bertutur bahasa Inggeris.

Semasa sidang media filem G.I. Joe: Retaliation, beliau menyifatkan berlakon sambil bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai sukar dan berbeza daripada bercakap biasa dalam bahasa Inggeris.

3) RAP MONSTER (BTS)

Apabila mendengar penyanyi rap ini fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, seseorang mungkin terfikir beliau pernah tinggal di negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Hakikatnya, beliau belajar bahasa itu dengan menonton racangan sitkom popular, Friends.

4) RAIN

Meskipun pernah berlakon dalam filem Hollywood Ninja Assassin, pelakon ini akui beliau tidak fasih berbahasa Inggeris.

Beliau baru mula belajar bahasa itu, tetapi penampilannya dalam filem itu cukup mengagumkan. Bagaimanakah beliau belajar bahasa Inggeris? Beliau bercakap kepada diri sendiri – menanyakan dirinya soalan dan kemudian menjawab sendiri!

5) KEY (SHINEE)

Walaupun penyanyi ini pernah mengikuti program pertukaran di Amerika selama enam minggu, beliau terus belajar bahasa Inggeris sehingga lebih fasih bertutur dalam bahasa itu.

Kadangkala, beliau memuatnaikkan gambar ke laman Instagram dengan kapsyen bahasa Inggeris supaya dapat berhubung dengan peminat luar Korea.

6) CHOI SIWON (SUPER JUNIOR)

Apabila kumpulannya mengunjungi negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, penyanyi ini sering menjadi ‘jurucakap’. Anggota kumpulannya yang lain berkata Siwon juga biasanya mengeluarkan kata-kata bahasa Inggeris ketika sedang marah.

7) TAECYEON (2PM)

Penyanyi yang pernah belajar di Amerika ini bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris, malah bercakap dalam loghat Amerika.

Ada kala, agensinya akan mendapatkan bantuannya memeriksa lirik lagu bahasa Inggeris bagi memastikan tatabahasanya betul.

8) KANG DONG WON

Semasa pelakon ini berada di Singapura, media yang mewawancaranya cukup kagum dengan kefasihannya berbahasa Inggeris.

Kang memberitahu akhbar The Straits Times bahawa beliau sudah belajar bahasa Inggeris selama lima tahun.

Beliau ingin melancong sendiri dan berkomunikasi tanpa bantuan.

RAIN: Pelakon yang pernah berlakon dalam filem Hollywood ini akui tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi penampilannya dalam filem itu cukup mengagumkan penonton. – Foto MNET

CHOI SIWON: Jadi ‘jurucakap’ kumpulan ketika berada di luar negara.

GONG YOO: Menjayakan wawancara bersama BBC dalam bahasa Inggeris yang fasih.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.