Buku panduan kurangkan sisa makanan di pasar raya

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

BUKU panduan bagi mengurangkan sisa makanan di pasar raya dilancarkan semalam oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Buku itu menyediakan panduan langkah demi langkah tentang bagaimana pengendali pasar raya boleh membangunkan pelan pengurangan sisa makanan dan penjimatan kos yang dapat mereka raih.

Antara petua yang disenaraikan termasuk membentuk sistem penyimpanan yang betul bagi mengelakkan kerosakan dan pengagihan semula makanan yang tidak terjual.

Sumber-sumber domestik, termasuk pasar raya, kedai runcit makanan dan pengeluar makanan, menyumbang kira-kira separuh daripada sisa makanan yang dihasilkan di Singapura.

NEA menarik perhatian beberapa pasar raya telah memainkan peranan dalam mengurangkan pembaziran.

Sebagai contoh, rangkaian pasar raya Dairy Farm telah menyediakan bahagian khusus bagi makanan yang menghampiri tarikh luputnya dan menawarkannya kepada pelanggan pada harga yang lebih rendah.

NTUC FairPrice telah melakukan perkara yang sama untuk buah-buahan dan sayuran yang menguning sedikit dan makanan laut dan daging sejuk yang telah dipamerkan selama sehari. Ini membantu mengurangkan jumlah sisa makanan yang dihasilkan daripada 11.6 kg pada 2014 kepada 6.3 kg pada 2016 bagi setiap ruang meter persegi.

Sementara itu, Sheng Siong memantau sisa makanannya daripada tempat pengedaran pusatnya apabila sisa makanan dipisahkan daripada sisa umum yang kemudian direkodkan untuk pembuangan.

Menteri Negara Kanan (Sekitaran dan Sumber Air), Dr Amy Khor, berkata panduan itu akan membantu pasar raya melakukan lebih banyak lagi.

Semalam Dr Khor juga memuji usaha pemusnahan sisa makanan yang telah dilakukan oleh lima pengendali pusat beli-belah dan penyewa runcit di acara Anugerah 3R bagi Pusat Beli-Belah yang julung-julung kali diadakan.

Pemenang anugerah itu ialah 313@Somerset, Ikea Alexandra, Jem, Parkway Parade dan The Shoppes di Marina Bay Sands, dan peruncit produk kecantikan Kiehl’s Singapore.

Ikea Singapore ialah pengendali rangkaian pusat beli-belah pertama di Singapura yang tidak lagi menyediakan beg beli-belah; dan menggalakkan pelanggannya membeli beg yang boleh diguna semula. Pada Mac 2016, Ikea juga mula menggantikan bekas pakai buang untuk makanan dengan bekas yang boleh diguna semula.

Sementara itu, Jem telah memasang ekopencerna yang membolehkan dua tan sisa organik dijadikan sebagai air setiap hari.

Parkway Parade mempunyai pencerna yang mengubah 1.4 tan sisa organik kepada air setiap hari. Hiasan-hiasan bagi musim perayaan juga telah digunakan semula.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.