5 pemain Ecuador digantung kerana masalah disiplin

Berita Harian - - SUKAN -

QUITO (Ecuador):

Lima pemain skuad Ecuador telah digantung daripada pasukan negara itu selepas didapati menyelinap keluar daripada hotel penginapan pasukan sebelum kekalahan 1-3 kepada Argentina pada aksi kelayakan Piala Dunia di Quito pada Rabu lalu.

Ia diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Ecuador yang tidak pula mendedahkan nama pemain terbabit.

Perlawanan yang menyaksikan bintang-bintang Argentina yang diterajui Lionel Messi terdesak mencatat kemenangan itu dimenangi juara dunia dua kali itu melalui hatrik cemerlang Messi.

Ecuador yang memulakan kempen kelayakan dengan baik apabila meraih kemenangan dalam empat perlawanan awal, hanya menang dua dalam baki 14 perlawanan selanjutnya untuk sekadar menduduki tangga kelapan kumpulan zon Amerika Selatan yang terdiri daripada 10 negara. – Reuters. LONDON: Satu lagi ujian bagi melihat sejauh mana Manchester United boleh dianggap pilihan serius bagi menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana England musim ini apabila Jose Mourinho memimpin pasukannya ke Anfield bagi pertemuan dengan Liverpool hari ini (7.30 malam ini waktu Singapura).

Pasukan bergelar The Red Devils itu kini mempunyai jumlah mata yang sama – 19 mata – dengan pendahulu liga, Manchester City, tetapi sejauh ini belum lagi benar-benar diuji pencabar yang berkualiti.

Ini berbeza daripada City pimpinan Pep Guardiola yang enam kemenangan awal sejauh ini termasuk menewaskan Liverpool dan juara bertahan, Chelsea. City menerima kedatangan Stoke City hari ini.

Kededua Mourinho dan rakan sejawatannya di Liverpool, Juergen Klopp, bagaimanapun, perlu melakukan sedikit rombakan ke atas skuad masing-masing yang kembali daripada tugas antarabangsa minggu lalu.

United akan turun tanpa tunggak midfield Perancis, Paul Pogba, yang dijangka terkeluar untuk tempoh yang agak lama kerana masalah kejang otot, selain seorang lagi tenaga midfield yang kian menyerlah musim ini, Marouane Fellaini.

Ini mungkin memaksa Mourinho memanggil semula khidmat Pemain Terbaik United musim lalu, Ander Herrera, untuk digandingkan dengan Nemanja Matic.

Tetapi dengan Matic dan seorang lagi muka baru United, Romelu Lukaku, mempamer prestasi cemerlang awal musim, Mourinho tentunya menaruh permulaan hebat pasukannya akan berterusan.

“Saya fikir kami adalah pasukan yang lebih baik (berbanding sebelum ini),” ujar Mourinho kepada Sky Sports.

“Anda boleh berkata... seperti juga orang-orang lain yang mengatakan bahawa kami belum lagi berhadapan dengan lima pasukan utama liga ini tetapi musim lalu kami gagal menewaskan West Ham dan Everton di padang sendiri atau Southampton di padang mereka.

“Dilihat daripada setiap sudut, kami sebuah pasukan yang lebih baik tetapi adakah itu bermakna kami akan berjaya seperti musim lalu, memenangi dua kejuaraan?

“Saya tidak pasti tetapi kami kini lebih baik,” tambah pengurus asal Portugal itu.

Mourinho menambah bahawa beliau ghairah menjelang pertarungan di Anfield itu apabila kededua pasukan itu seri tanpa gol dalam pertemuan musim lalu.

“Saya suka bermain menentang pasukan terbaik... saya suka bermain menentang kelab terbaik dan beraksi di stadium terbaik... stadium yang kaya dengan sejarah.

“Di Anfield, saya telah melalui pelbagai kenangan hebat dan juga yang pahit. Mereka (penyokong Liverpool) juga pernah bergembira dan berluka setiap kali saya ke sana.

“Jadi sekiranya mereka benar-benar menghormati saya seperti saya menghormati mereka... saya fikir kami akan memperolehi satu lagi pertarungan hebat,” tambah Mourinho.

Klopp, yang pasukannya kini di tangga ketujuh – tujuh mata di belakang United – akan turut kehilangan tenaga penyerang handalan, Sadio Mane, yang mengalami kecederaan semasa mewakili negaranya, Senegal, minggu lalu.

Sekalipun pasukannya gagal menunjukkan permulaan konsisten sejauh ini, pengurus asal Jerman itu tentunya boleh merujuk kepada statistik cemerlang menyaksikan setiap pasukan yang dipimpinnya mempunyai rekod yang baik ke atas pasukan pimpinan Mourinho sebelum ini.

Klopp sudah pun bertembung dengan Mourinho sebanyak tujuh kali sebelum ini termasuk semasa mengendalikan kelab Jerman, Borussia Dortmund, dengan Mourinho bertugas di Real Madrid.

Hanya sekali sahaja Klopp mengalami kekalahan tetapi itupun menyaksikan pasukannya, Dortmund, menyingkirkan Real pimpinan Mourinho daripada pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara dengan tiga pertemuan lain dimenangi Klopp dan baki tiga berakhir dengan seri.

Mungkinkah rekod cemerlang Klopp ini akan berterusan? Atau mungkinkah pasukan berbakat Mourinho membuktikan mereka benarbenar pesaing serius bagi mahkota Liga Perdana musim ini?

Jawapannya akan terjawap selepas 90 minit di Anfield nanti. – AFP, Reuters.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.