PM Lee hadir sidang Apec bincang integrasi ekonomi

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

PERDANA Menteri Encik Lee Hsien Loong yang tiba di Danang, Vietnam semalam bagi sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berkata sidang itu akan tertumpu kepada usaha mempromosikan integrasi ekonomi serantau dan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan.

Menulis dalam lelaman Facebook peribadinya, Encik Lee berkata beliau tiba di Vietnam sedang negara itu dilanda Taufan Damrey hujung minggu lalu.

“Danang terlepas daripada kesan kejadian terburuk banjir, namun malangnya ramai nyawa terkorban di tempat lain.

“Selain menyiapkan diri bagi Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) dan para pelancong, pihak berkuasa Vietnam juga perlu melakukan usaha mencari dan menyelamat, serta kerja-kerja pembersihan selepas ribut petir.

“Hujan yang turun kini mula reda, sedang taufan itu hampir selesai.

“Perbincangan kami akan tertumpu dalam usaha menggalak integrasi ekonomi serantau dan pertumbuhan inklusif dan mapan bersama,” jelas Perdana Menteri lagi.

Semasa di Danang, Perdana Menteri dan baki 11 anggota perjanjian dagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), bersetuju untuk bergerak terus bagi perjanjian tersebut, walaupun masa depannya masih terumbang-ambing, sejak Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump menarik diri daripada TPP pada awal tahun ini.

Buat masa ini, Jepun mengambil inisiatif mengetuai rundingan untuk memastikan perjanjian TPP menjadi kenyataan.

Mesyuarat 21 pemimpin negara ekonomi Asia Pasifik itu antara lain membincangkan isu-isu dagangan, politik dan keselamatan sebagai agenda utamanya.

Mesyuarat Apec ke-29 pada tahun ini berlangsung di tengah-tengah ketidaktentuan dalam dasar perdagangan dan ketegangan politik dalam banyak negara anggota ekonomi, sedang dagangan dan mesyuarat menteri-menteri luar negeri, yang diadakan lebih awal, mendapati sukar untuk bersetuju mengenai kenyataan bersama bagi dagangan bebas.

Para penganalis menjangkakan Presiden Trump, yang menghadiri mesyuarat Apec pertamanya, akan menjelaskan apakah pengertian dasar “Amerika Diutamakan” bagi mendekati negara-negara rantau ini dan seluruh dunia.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan kelmarin menyatakan para pemimpin Apec membincangkan cara-cara bagi menggalak perpaduan ekonomi serantau yang lebih rapat dan menjana pertumbuhan yang lebih kukuh dan berkekalan.

Kelmarin, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Lim Hng Kiang dan Menteri Negara Kanan ( Ehwal Luar dan Pertahanan), Dr Maliki Osman mewakili Singapura dalam mesyuarat menteri Apec, yang berlarutan sehingga hari kedua, apabila anggota-anggota Apec gagal untuk mencapai persetujuan mengenai pasaran terbuka dan isu-isu strategi lain.

Selepas mesyuarat tertutup semalam, Timbalan Perdana Menteri Vietnam dan Menteri Luar, Encik Pham Binh Minh dan Menteri Perdagangan Vietnam, Encik Tran Tuan Anh berkata ia adalah satu “pencapaian besar” walaupun terdapat “pelbagai pandangan.”

Keputusan oleh menteri-menteri Apec itu akan dapat membimbing para pemimpin Apec apabila mereka mengadakan pertemuan pada hari ini.

Laporan agensi Reuters semalam menyatakan perbincangan bagi meneruskan TPP walaupun tanpa Amerika, yang menarik diri pada tahun lalu, mencapai perbincangan hangat.

SIDANG APEC: Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong tiba di Danang, Vietnam untuk menghadiri sidang Apec semalam. Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Vietnam, Encik Tran Dai Quang (gambar atas).– Foto-foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.