Pemimpin 21 negara mula himpun bagi Apec

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

DANANG (Vietnam): Ketua negara dari 21 negara yang menghadiri sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) akan menyertai perbincangan utama menjelang Mesyuarat Apec hari ini.

Pemimpin negara anggota Apec bersidang di bandar peranginan di Danang bagi Mesyuarat Pemimpin Apec selama dua hari dengan acara utama persidangan bagi membentuk semula dasar perdagangan dan globalisasi.

Pada sesi pertama, pemimpin Apec berbincang mengenai topik Pertumbuhan Inovatif, Inklusif dan Pekerjaan Mapan dalam Era Digital.

Pada sesi kedua, pemimpin Apec akan berhujah mengenai Pemacu Baru untuk Perdagangan Serantau, Pelaburan dan Kesalinghubungan.

Program lain yang digariskan bagi Mesyuarat Pemimpin Apec termasuklah sesi plenari Majlis Penasihat Perniagaan Apec (ABAC), Dialog ABAC dengan Pemimpin Apec dan dialog tidak rasmi antara Apec dan Asean.

Presiden Vietnam, Encik Tran Dai Quang, akan mengadakan majlis jamuan malam gala bagi pemimpin Apec.

Apec kali ini bertemakan ‘Mewujudkan Kedinamikan Baru, Mengukuhkan Perkongsian Masa Depan’.

Apec diwujudkan pada 1989 sebagai forum ekonomi, perdagangan dan pelaburan bagi 21 negara Lingkaran Pasifik, mewakili separuh daripada perdagangan dan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia.

Anggota Apec terdiri daripada Australia, Brunei, Canada, Chile, China, Hongkong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Amerika dan Vietnam.

Beberapa negara Apec juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) untuk perbincangan sebelum majlis perasmian Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Apec ke-25.

Usaha mengekalkan TPP diketuai oleh Jepun, New Zealand dan Australia.

Lapan anggota lain TPP ialah Brunei, Canada, Chile, Mexico, Malaysia, Peru, Vietnam dan Singapura.

Amerika Syarikat yang pada awalnya menerajui inisiatif TPP ini telah menarik diri, namun negara yang masih kekal dalam pakatan komited mahu menjadikan TPP sebagai blok ekonomi yang penting selepas Kawasan Perdagangan Bebas Asia (Afta).

Buat masa ini, Jepun mengambil inisiatif mengetuai rundingan untuk memastikan perjanjian TPP menjadi kenyataan. – Agensi berita.

KETIBAAN DISAMBUT: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (kiri), antara pemimpin dunia yang tiba bagi menghadiri sidang puncak Apec di Danang, Vietnam, semalam. – Foto-foto REUTERS

NEGARA ANGGOTA APEC: Pemimpin Presiden Korea Selatan, Encik Moon Jae-In (tengah) dan isterinya, Cik Kim Jung-Sook.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.