Jemaah umrah perlu dapat pengesahan biometrik sebelum mohon visa

Berita Harian - - MUKA DEPAN - ATIYYAH MOHD SAID

MULAI Disember ini, jemaah yang mengerjakan umrah perlu mendapatkan pengesahan biometrik sebelum membuat permohonan visa.

Tuntutan baru oleh Arab Saudi itu telah mula dimaklumkan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) kepada ejen penjualan (GSA) serta jemaah yang terjejas sejak kelmarin.

Mendedahkan demikian semasa ditemui Berita Harian semalam, Presiden Amtas, Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, berkata mereka yang tidak memenuhi tuntutan biometrik itu tidak akan dapat membuat permohonan visa.

Pengesahan biometrik yang diperlukan adalah cap kesemua 10 jari dan imbasan muka. Namun mereka yang berusia 70 tahun ke atas serta di bawah 12 tahun, dikecualikan.

Sebuah syarikat global, VFS Tasheel International, telah dilantik Saudi bagi menguruskan hal berkaitan pengesahan biometrik bagi umrah dan haji.

Bayaran $8 akan dikenakan bagi pengesahan biometrik tersebut.

Menurut Ustaz TM Fouzy, syarat baru itu akan dikuatkuasakan ke atas permohonan visa yang diterima kedutaan Arab Saudi di sini bermula dari 20 November.

“Pihak Amtas sudah dimaklumkan tentang syarat baru itu sekitar dua minggu lalu tetapi prosedurnya tidak dapat dilakukan tanpa kehadiran perwakilan dari Kementerian Ehwal Luar dari Arab Saudi, yang baru tiba minggu lalu untuk bermesyuarat dengan kami,” ujarnya.

Bagi melicinkan proses itu, Amtas sudah melakar jadual bagi jemaah mendapatkan pengesahan biometrik mereka di pejabat VFS, di Anson Road.

“Disebabkan pengumuman pada jangka masa agak singkat, keutamaan akan diberi kepada jemaah yang akan berangkat pada 1 hingga 5 Disember.

“Mereka boleh menempah waktu dan tarikh janji temu melakukan pengesahan biometrik mereka menerusi dalam talian.

“Kerana kita berada di saat-saat terakhir, bagi memastikan golongan ini dapat melakukannya dengan baik, mereka perlu membuat janji temu bagi tempoh diperuntukkan iaitu 16 November hingga 20 November,” terangnya.

Ustaz TM Fouzy juga menggesa jemaah supaya melakukan proses itu secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat memohon visa tepat pada waktunya.

“Sebab ini baru proses biometrik belum lagi permohonan visa. Selepas melakukan pengesahan biometrik, Amtas akan semak dokumen dan kemudian hantar ke kedutaan Saudi untuk visa.

“Mereka yang tidak mendapatkan pengesahan biometrik ini, tidak akan dilayan membuat visa umrah,” jelasnya.

Apabila ditanya sama ada Amtas menjangka sebarang kegenjotan disebabkan pengumuman terkini itu, Ustaz TM Fouzy tidak menolak kemungkinan itu.

“Kami khuatir jika jemaah tidak ikut jadual ditetapkan, akan berlaku keadaan mereka yang tidak mempunyai maklumat biometrik dan tidak dapat visa pada masa yang sepatutnya,” tambahnya.

Sekitar 8,000 jemaah dianggarkan melakukan umrah pada November dan Disember ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.