Othman Ismail terpanggil kembali menulis cerpen

Berita Harian - - GAH! - ROHMAN MUNASIP

MENATAP halaman sastera Singapura di Berita Minggu dan Berita Harian kini, ramai penulis menghela nafas lega kerana telah ditambah halamannya.

Penambahan itu bukan sahaja menyiarkan karya penulis baru dan mapan, malah menarik ramai penulis yang lama tidak menulis lalu terpanggil kembali mengisi wadah. Antaranya ialah cerpenis Othman Ismail.

Othman berusia 31 tahun sewaktu karya pertama Hikayat Penglipur Lara disiar dalam BM pada Ogos 1986. Kini Othman berusia 56 tahun – bererti sudah 35 tahun ia terus menulis walaupun ada seketika berjeda dan kembali lagi dua tahun lalu.

Sepanjang pelibatannya sebagai penulis, Othman menghasilkan lebih 30 cerpen yang disiarkan BH/BM.

Merah Saga (2017) merupakan kumpulan cerpennya yang pertama dan mengandungi 18 cerpen.

Sejak membaca cerpen pertamanya pada 1986, penulis yakin Othman mempunyai bakat terserlah dalam penulisan cerpen.

Cerpen tulisan yang dianalisis kali ini ialah Biduan Tua, Tin Kemik Buat Lela dan Merah Saga di Bukit Merah.

Biduan Tua (BH, 21 Mac 2016) mengisahkan penyanyi era pop yeh yeh mengharungi dunia senja antara nostalgia dan alam nyata.

Kehidupan MS Den, tokoh utama cerpen ini, kini cukup sederhana di samping Marhamah, isteri yang dinikahi selepas perceraian dengan Siti Aidah. MS Den juga cukup bahagia dengan mengajar cucu dan anak jiran tetangganya mengaji.

Namun, kehadiran MS Den di pentas nyanyian sering dinantikan peminat yang mengenali bakatnya sejak muda.

Pelawaan Mas Yahya, penyanyi lama seangkatannya, menjelajah Singapura dan sekitar Johor dengan persembahan lagu 1960-an di pentas bersama rakan lain menggugat pendiriannya. Cerpen Biduan Tua tentu sekali meninggalkan kesan nostalgik kepada pembaca sezaman MS Den.

Dalam cerpen Othman berjudul Tin Kemik Buat Lela (BH, 9 November 2015), bukan tidak ada maknanya ‘tin kemik’ itu.

Sebagai pengarang, ‘tin kemik’ mengandungi kisah yang harus diungkap. Tidak semua anggota masyarakat kita tinggal dalam flat, serta hidup mewah dan berkecukupan.

Masih ada kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan demi meneruskan kehidupan. Kedaifan itu berlaku kepada keluarga gadis cilik bernama Lela.

Lela yang berusia tujuh tahun turut beratur di bawah blok untuk mengambil habuan disebabkan keadaan keluarga yang mengalami masalah. Ini mendorong anak sekecil itu menggantikan tempat orang dewasa mengambil habuan.

Walaupun barang habuan termasuk makanan dalam tin yang sudah kemik dan juga beras seberat lima kilogram, semua ini amat berharga bagi keluarga Lela.

Seperti cerpen lain karya Othman yang pernah penulis baca, beliau cukup mahir menggunakan bahasa mudah yang segar dan sesuai dengan cerita berlatarkan suasana masa kini.

Cerpen Othman muncul lagi di BH – kali ini berjudul Merah Saga di Bukit Merah (24 Julai 2017).

Cerpen itu mengajak pembaca mendekati isu masyarakat dengan membawa tema perceraian.

Melalui laporan media, difahamkan tahun lalu perceraian dalam kalangan masyarakat Islam jumlahnya lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Justeru, cerpen ini memang sesuai disiar sebagai cerminan dunia nyata.

Karya cuba menarik perhatian bahawa perceraian boleh berlaku bukan sahaja dalam kalangan generasi muda yang baru lima hingga sembilan tahun berumahtangga.

Malah, fenomena itu boleh terjadi kepada pasangan sudah lebih 30 tahun berkahwin, seperti yang berlaku pada pasangan Saga dan Merah dalam cerpen ini. Selain kecurangan Saga, sifat boros dan mengabaikan tanggungan nafkah keluarga menjadi faktor perpisahan.

Walaupun sekadar paparan ringkas melalui cerpen, Othman ingin menghantar mesej kepada pembaca melalui watak “aku” atau “Ali” bahawa perceraian tidak seharusnya memutuskan hubungan anak dan ibu bapa.

Othman pun pandai memilih judul. Merah Saga di Bukit Merah bukan sahaja menarik, malah tepat dengan pengakhiran cerita yang memaparkan perpisahan yang tidak dijangka seperti biji saga yang bertaburan di tepi jalan.

Penulis cerpenis, penyair dan pengulas cerpen setempat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.