Pengadil wanita pertama dalam Bundesliga

Berita Harian - - SUKAN -

JERMAN: Bibiana Steinhaus sudah biasa dengan apa yang boleh dijangkakan sejurus beliau melangkah masuk ke padang.

Apakan tidak, apabila keluar daripada bilik persalinan sebagai seorang pengadil Liga Jerman atau Bundesliga, mata 50,000 peminat dan media sedunia akan tertumpu ke arahnya.

Pada 10 September lalu, Steinhaus mengukir sejarah di Jerman dengan menjadi pengadil wanita pertama yang mengadili perlawanan peringkat tinggi.

Tempatnya juga ikonik – Olympiastadion yang mampu memuatkan sehingga 74,000 penonton dan pernah menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik, perlawanan Piala Dunia dan pertandingan akhir Liga Juara-Juara.

“Memang meremang bulu roma saya apabila mengenangkannya semula.

“Apabila kami berjalan keluar di Stadium Olympic di Berlin itu... yang memang hebat... dengan suasana yang riuh serta sekitarannya... sememangnya detik mengagumkan buat saya,” katanya.

Wanita berusia 38 tahun itu kali pertama menerima berita pelantikan beliau selaku pengadil bagi pertemuan antara Hertha Berlin dengan Werder Bremen itu hanya tiga hari sebelum perlawanan tersebut.

Ia merupakan amalan biasa bagi para pengadil yang bertugas dalam Bundesliga.

Mendengarkan Steinhaus berbual tentang detik tersebut, sesiapa sahaja dapat rasakan kebanggaan yang dialami pengadil itu.

Senyumannya lebar dan pergerakannya menjadi lebih menarik sedang beliau menerangkan dengan penuh emosi akan perasaannya menjadi pengadil perlawanan itu.

“Sebagai pengadil, biasanya saya akan menarik nafas sebelum perlawanan.

“Dan dari situ, kami buat persiapan seperti juga semasa mengadili perlawanan biasa yang lain.

“Saya dan para pengadil lain buat persiapan awal dan apabila perlawanan bermula, kami akan beri tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Perlawanan antara Hertha Berlin dengan Werder Bremen itu berkesudahan seri 1-1.

Steinhaus mengakui bahawa beliau tidak menjangkakan perhatian dunia akan tertumpu kepadanya, apatah lagi mendapt liputan di seluruh Jerman.

“Memang banyak tekanan yang saya rasakan,” katanya meskipun ia cabaran yang beliau amat hargai.

Persembahan Steinhaus meraih persetujuan ramai, tetapi tumpuan yang diterimanya dalam perlawanan kedua antara Schalke dengan Mainz agak berbeza.

“Tiada siapa peduli lagi.

“Tiada siapa lagi yang berminat.

“Ia menjadi cerita kecil sahaja dalam media.

“Itu menunjukkan saya sebagai pengadil, diterima ramai.

“Orang ramai terima pengadilan yang berkualiti tidak kira jantina, apa saiz mereka, apa latar belakang mereka, apa agama atau budaya mereka.

“Jika anda mempunyai kualiti yang diperlukan dan jika anda amat berminat dengan tugas yang diberikan pastinya pintu akan terbuka.

“Dan itulah yang indah mengenai sukan ini,” kata beliau.

Selain menjadi pengadil Bundesliga, Steinhaus bekerja sebagai pegawai polis pada sebelah malam.

Menurutnya beberapa aspek kededua tugas itu menambah nilai antara satu sama lain.

Meskipun begitu Steinhaus akur beliau agak sukar membuat rondaan justeru kini ditugaskan dalam pejabat.

“Orang ramai akan ‘menahan’ saya dan ingin berbual tentang bola sepak pula,” katanya sambil ketawa.

Steinhaus cukup merendah hati tetapi insiden sedemikian memberi peringatan kepadanya tentang perjalanan yang dilaluinya apabila kali pertama beliau buat keputusan menjadi pengadil.

Kebetulan semasa membesar beliau melihat sendiri bagaimana bapanya menjadi seorang pengadil bola sepak juga.

“Saya mudah memahami apa yang diajar.

“Saya bukan pemain bola sepak handal. “Jadi saya pun ambil keputusan meniup wisel di padang bola,” tambahnya.

Beliau telah pun menjadi pengadil perlawanan amatur sebelum ini maka banyak yang telah Steinhaus lalui sepanjang perjalanannya itu.

Yang menariknya pengadil profesional Bundesliga itu masih tetap bersemangat mengenai kerjayanya seperti juga semasa beliau mula-mula menjadi pengadil perlawanan amatur tidak lama dulu.

“Saya fikir inilah pekerjaan paling hebat dalam dunia.

“Saya mempunyai minat dan saya cintakan apa yang saya lakukan dan saban tahun saya terus menunjukkan kemajuan, dari satu peringkat kepada peringkat Bundesliga,” tambahnya sambil tersenyum lebar. – Agensi berita.

PENGALAMAN HEBAT: Tugas sulung Bibiana Steinhaus sebagai pengadil liga bola sepak utama Jerman bertempat di stadium ikonik Olympiastadion yang mampu memuatkan sehingga 74,000 penonton. – Foto REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.