Pengalaman kerja dorong pelajar ITE ikuti program diploma baru

Berita Harian - - BERITA - SHAHIDA SARHID

SEBAGAI pekerja pelatih di Hospital St. Luke, banyak yang dapat dipelajari pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, Cik Nur Fatiha Zainal.

Menurut anak kelima tujuh beradik itu, pengalaman bekerja memantapkan lagi pemahamannya selain memberinya ruang menyedari keperluan industri penjagaan pemulihan.

“Semasa di sekolah, kita ada juga lakukan praktikal, mengangkat kawan dan memindahkan mereka dari katil ke kerusi roda.

“Tetapi apabila bekerja dan perlu mengangkat warga tua, saya dapati situasinya cukup berbeza dan banyak cabarannya.

“Di St Luke, banyak yang mereka ajar termasuk teknik mengangkat pesakit dengan betul mengikut keperluan pesakit,” ujar pelajar kursus Khidmat Sosial dan Penjagaan Masyarakat itu.

Lantas pelajar berusia 18 tahun itu telah pun melahirkan hasrat mahu mengikuti program Diploma Teknikal Bekerja-Belajar (WLTD) yang baru diperkenalkan tahun ini.

Program itu dibangun dan disampaikan menerusi kerjasama rapat dengan majikan utama. Pembelajaran diraih di tempat kerja dan kampus, dengan 70 peratus masa kurikulum dikhususkan bagi Latihan Semasa Bekerja.

Apabila permohonan dibuka pada 27 November ini, program tersebut bakal menerima sehingga 182 pelatih daripada 41 syarikat bagi kumpulan pelajar pertamanya.

Daripada 41 syarikat itu, 36 telah menghadirkan diri di ITE Kolej Barat semalam untuk menandatangani sokongan mereka bagi program tersebut.

Antaranya termasuk Keppel Offshore & Marine Ltd, Hexacon Construction Pte Ltd, Hospital St Luke, Hospital Masyarakat St Andrew, dan Certis Technology (Singapore) Pte Ltd.

Dalam ucapannya, tetamu terhormat, Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), Encik Ong Ye Kung, berkata berbeza daripada diploma di politeknik, kemasukan pelajar bagi diploma di peringkat ITE lebih ditentukan oleh majikan, sama seperti sistem vokasional di Jerman dan Switzerland.

“Ini merupakan model perantisan. Ia berbeza daripada menghadiri ceramah dan melakukan projek di institusi.

“Pelajar dalam program perantisan ini akan mempelajari sebanyak mungkin daripada majikan seperti yang mereka pelajari daripada pensyarah ITE.

“Majikan juga memainkan peranan besar dalam melakarkan kurikulum bersama,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif ITE, Cik Low Khah Gek, turut menyentuh bagaimana program WLTD ini dapat memanfaatkan semua pihak termasuk ITE, lepasan ITE dan rakan kongsi dalam industri.

“Dengan WLTD, ITE bersama-sama industri telah mewujudkan laluan mempertingkatkan kemahiran dan lanjutan kerjaya bagi lepasan ITE.

“Majikan juga boleh menggunakan laluan ini untuk mempersiap pekerja mereka agar dapat mengambil pekerjaan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Seorang lagi pelajar Khidmat Sosial dan Penjagaan Masyarakat, Cik Nurissah Md Rinno, juga 18 tahun, berkata program WLTD itu akan membuka laluan kerjaya alternatif kepada pelajar sepertinya.

“Saya dapati apabila mendapat pengalaman bekerja, pandangan kita tentang sesuatu industri itu akan berubah.

“Pada awalnya, saya berminat mahu menjadi jururawat, tetapi pendedahan dalam jagaan pemulihaan ini membuat saya tertarik dengan kerjaya yang saya sifatkan lebih bermakna buat saya,” ujar beliau yang kini seorang pekerja pelatih di Hospital Tan Tock Seng, menawarkan bantuan kepada jurupulih pekerjaan.

LALUAN PELAJARAN ALTERNATIF: Menteri Pendidkan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), Encik Ong Ye Kung (kiri) sedang mengongsi manfaat Diploma Teknikal Bekerja-Belajar (WLTD) kepada pelajar seperti Cik Nurissah Md Rinno (dua dari kanan) dan Cik Nur Fatiha Zainal (tiga dari kanan). – Foto ITE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.