Bilangan kanak-kanak cedera dalam kemalangan jalan raya meningkat

Berita Harian - - BERITA -

SERAMAI 132 kanakkanak berusia 12 tahun ke bawah cedera dalam kemalangan jalan raya dalam separuh masa pertama tahun ini – naik daripada 128 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Kita boleh menjauhkan dan mengelakkan tragedi yang tidak diingini ini dan lebih banyak boleh dilakukan untuk mendidik serta menyemai amalan keselamatan jalan raya dalam diri kanak-kanak,” kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau berkata demikian semasa acara penutup Sukan Trafik Shell tahunan ke-37 – yang bertujuan menguji pengetahuan pelajar mengenai keselamatan jalan raya – di Road Safety Community Park dekat East Coast semalam.

Profesor Faishal berkata bahawa kanak-kanak memang mudah terdedah kepada bahaya kerana mereka mungkin belum memahami bahaya di jalan raya dan tubuh mereka yang kecil juga membuat mereka kurang dilihat pemandu kenderaan.

Beliau turut menukil video tular pada Oktober lalu yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang berlari melintasi Leedon Road dan kemudian dilanggar kereta.

Budak lelaki itu tercampak dari alat mobiliti peribadi yang ditunggangnya.

“Mujur budak lelaki itu hanya mengalami kecederaan ringan. Disebabkan itu, saya ingin menekankan betapa pentingnya kita mengajar kanak-kanak tentang bahaya jalan raya.

“Setiap daripada kita merupakan pengguna jalan raya, sama ada sebagai pejalan kaki, pengayuh basikal atau pemandu, dan setiap daripada kita memainkan peranan menjadikan jalan raya kita lebih selamat.

“Kita hanya perlu menyumbang kepada usaha ini dengan sekadar mematuhi undang-undang jalan raya pada setiap masa dan menggesa mereka di sekitar kita agar melakukan yang serupa,” kata Profesor Faishal.

SEMAI AMALAN KESELAMATAN JALAN RAYA: Profesor Faishal (di pentas, kiri) mengibar bendera di garisan permulaan acara pemanduan kenderaan dengan selamat oleh para pelajar sekolah rendah di Road Safety Community Park dekat East Coast Park semalam. – FOTO BH oleh ALPHONSUS CHERN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.