Majoriti flat BTO yang dilancar dibina guna kaedah pasang siap baru

Berita Harian - - BERITA -

BUAT pertama kalinya, sebahagian besar flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dilancarkan akan dibina menggunakan kaedah pasang siap (pre-fabricated) baru yang mengurangkan bilangan pekerja di tapak binaan, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semalam.

Daripada 4,829 flat BTO yang dilancarkan menerusi lima projek HDB terkini, sebanyak 3,880 flat atau 80 peratus akan dibina menggunakan kaedah Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) atau pembinaan volumetrik prafabrikasi prasiap.

Projek-projek PPVC yang terlibat dalam percubaan ini terdiri daripada 1,300 unit di Fernvale Glades di Sengkang, 388 unit di Northshore Edge di Punggol dan 2,192 unit di Tampines GreenCourt.

Di bawah teknologi binaan baru ini, bilangan pekerja yang lebih kecil di tapak binaan bermakna aspek potensi bahaya dan kesulitan kepada orang ramai akan berkurangan.

Menerusi kaedah ini, tembok dipasang seperti Lego, dengan modul bangunan yang direka di kilang-kilang di luar tapak binaan. Ini sebahagian daripada usaha pemerintah meningkatkan produktiviti seperti yang ditunjukkan dalam Perancangan Perubahan Industri yang dilancarkan bulan lepas.

Dari sudut HDB pula, 35 peratus daripada semua flat BTO yang ditawarkan harus menggunakan teknologi menjelang 2019. Tahun ini sahaja, 22 peratus daripada flat BTO yang dilancarkan akan menggunakan PPVC.

Projek percubaan PPVC HDB – Valley Spring@Yishun – telah dilancarkan pada Ogos lalu.

Flat PPVC ditawarkan dengan kelengkapan lantai dan tembok yang siap diubah elok, pintu dalaman, bingkai tingkap, kelengkapan sanitari dan lapisan cat asas.

HDB tidak akan menawarkan Skim Komponen Pilihan (OCS), yang membolehkan pembeli BTO memilih perabot sebagai pilihan, dengan flat seperti ini.

Menurut HDB: “Skim ini membolehkan pembeli memasuki flat mereka dengan lebih cepat kerana kerja ubah suai tidak diperlukan. Pembeli yang memilih mendapatkan kelengkapan rumah, boleh memilih mendapatkan flat bukan PPVC di mana OCS akan terus ditawarkan.”

Flat BTO yang ditawarkan adalah di bandar-bandar lama Geylang dan Tampines dan bandar-bandar Punggol dan Sengkang yang tidak matang.

Ia termasuk pajakan pendek, unit fleksi dua bilik untuk pembeli rumah warga tua dan unit tiga generasi untuk keluarga berbilang generasi yang mahu tinggal bersama di bawah satu bumbung.

FLAT BTO PASANG SIAP BARU: Lukisan flat BTO pasang siap di Northshore Edge di Punggol. Daripada 4,829 flat BTO yang dilancarkan menerusi lima projek HDB terkini, sebanyak 80 peratus akan dibina menggunakan kaedah pembinaan volumetrik prafabrikasi prasiap, menurut HDB. – Foto HDB

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.