PM Lee hargai jasa mendiang Cyrille Tan kepada pergerakan buruh

Berita Harian - - BERITA -

AKTIVIS veteran pergerakan buruh, mendiang Cyrille Tan Soo Leng, mencurahkan bakti dengan penuh dedikasi demi berkhidmat untuk pergerakan buruh serta Singapura dan menyentuh kehidupan ramai, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada pergerakan buruh dan Singapura, kata Encik Lee dalam kawat takziah kepada isteri mendiang, Cik Joanna Tan, semalam.

Mendiang Tan, yang pernah menyandang jawatan sebagai Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebelum bersara, meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 67 tahun.

Dalam suratnya, Encik Lee menyingkap kerjaya mendiang Tan dalam pergerakan buruh selama 30 tahun, yang bermula pada 1981 apabila beliau menyertai Kesatuan Pekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (UWEEI).

Mendiang dilantik sebagai presiden UWEEI pada 1984 sebelum menjadi setiausaha agungnya selama 22 tahun.

Di bawah tampuk kepimpinannya, kesatuan tersebut berkembang dari segi kekuatan dan bilangan anggota.

Kata Encik Lee, UWEEI kekal sebagai salah sebuah kesatuan sekerja terbesar di Singapura hingga ke hari ini.

Menurut Encik Lee, beliau pernah diberi kesempatan bekerja dengan mendiang Tan apabila beliau berkhidmat sebagai penasihat kepada kesatuan sekerja tersebut yang mempunyai 125 cawangan dan mewakili pekerja dalam sebuah industri yang “terdedah kepada putaran turun naik”.

“Saya banyak belajar dengan mengamati cara beliau menguruskan ehwal kesatuan,” ujar Encik Lee, sambil menambah bahawa mendiang Tan menerajui kesatuan ketika zaman sukar, termasuk semasa Krisis Kewangan Asia pada 1998.

Mendiang juga pernah dilantik sebagai anggota jawatankuasa pusat NTUC di mana beliau berkhidmat sebagai setiausaha ehwal kewangan pada 1994 dan kemudian naib presiden sehingga 2011.

“Beliau sangat disukai dan dihormati oleh para anggota sepanjang penglibatannya dengan pergerakan buruh disebabkan keikhlasan, kesukaan dan sikapnya yang suka mengambil berat terhadap orang lain,” tambah Encik Lee.

Encik Lee turut melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan secara peribadi kerana beliau kini menghadiri Sidang Puncak Asean di Manila.

“Fikiran saya bersama anda dan keluarga anda semasa kita meratapi pemergian saudara Cyrille,” ujar Encik Lee.

MENDIANG CYRILLE TAN SOO LENG: Pernah menjadi Naib Presiden NTUC sebelum bersara. Mendiang meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 67 tahun. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.