Penggunaan teknologi pertingkat kemudahan pesakit di Poliklinik Bedok

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - FARID HAMZAH

PARA pesakit yang mengunjungi Poliklinik Bedok yang baru kini boleh menjangkakan jagaan kesihatan yang dipertingkat menerusi penggunaan teknologi, selain memperkenalkan khidmat jagaan bersepadu.

Ia memperkenalkan sistem pengambilan sendiri ubat yang disejukkan seperti insulin serta ubat mata dan kios pemantauan kesihatan di mana pesakit boleh memeriksa sendiri keadaan kesihatan mereka.

Selain itu, diperkenalkan juga program pengurusan kencing manis dan mereka yang berisiko tinggi menghidap kencing manis, selain khidmat bersepadu seperti podiatri, fisioterapi dan radiologi di poliklinik itu.

Mendedahkan demikian kepada media semalam, Pengarah Klinik Poliklinik SingHealth (SHP) – Bedok, Dr Juliana Bahadin, berkata penggunaan teknologi yang dipertingkat itu memberikan lebih kemudahan kepada pesakit di klinik tersebut.

“Contohnya waktu menunggu bagi mendapatkan ubat kini dapat dikurangkan sekurang-kurangnya setengah jam dengan adanya Preskripsi dalam Kotak Lokar (Pilbox).

“Begitu juga dengan kios pemantauan kesihatan.

“Ini menjimatkan sekurang-kurangnya lima minit masa doktor, justeru memberi doktor peluang memperuntuk lebih masa bersama pesakit.

“Ini juga bermakna kakitangan klinik dapat dikerah kepada tugasan lain,” katanya.

Kemudahan Pilbox membolehkan pesakit atau penjaga mereka mengambil sendiri bekalan ubat pada tarikh dan masa yang mereka inginkan.

Pesakit atau penjaga mereka tidak perlu beratur atau menunggu di kaunter farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat mereka.

Sejak diperkenalkan pada 15 Ogos lalu, Pilbox telah memberi manfaat kepada sekitar 1,380 pesakit.

Selain itu, di Poliklinik Bedok, sebuah sistem lokar pengambilan ubat yang boleh dikawal suhunya turut diperkenalkan.

Dr Juliana berkata demikian kepada media ketika berkongsi mengenai teknologi baru dan khidmat jagaan bersepadu di poliklinik SingHealth.

Menurut beliau, pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) dan ActiveSG bagi menganjurkan kelas kesihatan atau senaman, selain ceramah kesihatan melibatkan Perpustakaan Awam Bedok.

PANTAU SENDIRI: Seorang pesakit diajar seorang kakitangan poliklinik Bedok cara memeriksa dan memantau keadaan kesihatannya sebelum berjumpa doktor. – Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.