Dua suspek pengganas ditembak mati di Sumatera

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

JAKARTA: Polis Indonesia menembak mati dua lelaki yang disyaki membakar sebuah kompleks polis di Sumatera Ahad lalu dalam serangan yang diterdorong oleh tindakan militan, kata para pegawai semalam.

Mereka menggunakan busur dan anak panah untuk menyerang pegawai polis, yang mengatakan satu mesej pengganasan ditemui ditulis pada sekeping kertas yang ada pada salah seorang suspek tersebut.

Mesej itu ditulis oleh seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Abu Azzam Al Arkhobiliy, lapor The Jakarta Post.

“Kami sedang menyiasat hubungan antara kebakaran itu dan dua pengganas yang terbunuh,” kata jurucakap polis kebangsaan, Brigadier Jeneral Rikwanto.

Beliau berkata anggota bomba menemui dua lelaki berhampiran runtuhan kompleks polis di daerah Dharmasraya di Sumatera Barat itu dan melaporkan mereka kepada polis.

Semua bangunan utama di ibu pejabat polis itu hangus mencium bumi, tetapi tiada sesiapa terbunuh. Bangunan dan pegawai polis menjadi sasaran utama militan di Indonesia selama bertahun-tahun kerana tindakan keras yang diambil oleh pasukan antipengganasan terhadap radikal tempatan.

Sementara itu, unit antipengganas elit polis, Detasemen Khusus 88, atau Densus 88, menangkap seorang suspek pengganas Indonesia di sebuah pulau kecil di sempadan Indonesia-Filipina kerana merancang menyeberang untuk menyertai kumpulan militan ISIS di Marawi, selatan Filipina.

Lelaki itu, dikenal pasti polis Indonesia dengan awalannya AM, berasal dari Banten, Jakarta. Dia pergi ke Bitung, Sulawesi Utara, dan kemudian menaiki kapal ke Pulau Sangihe, di utara wilayah itu, sebelum ditangkap.

“Siasatan awal kami mendedahkan perjalanan ke Filipina yang dirancangnya bertujuan menyertai kumpulan pemberontak di Filipina Selatan, dia penyokong ISIS,” katanya.

Jeneral Setyo tidak mengatakan bila AM ditangkap, tetapi dia diterbangkan ke Jakarta kelmarin bagi siasatan lanjut. Penangkapannya berlaku beberapa minggu selepas pegawai keselamatan Filipina mengisytiharkan berakhirnya pertempuran sengit di Marawi, lima bulan selepas beratus-ratus militan pro-ISIS menyerang bandar itu, menjadi krisis keselamatan terbesar Filipina sejak beberapa tahun lalu. – Reuters, The Straits Times.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.