Empat tokoh terima anugerah sains tertinggi Presiden

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

EMPAT individu menerima penghormatan dalam Anugerah Sains dan Teknologi Presiden (PSTA) tahun ini.

Anugerah itu pengiktirafan tertinggi bagi golongan saintis dan jurutera setempat yang hasil kerja mereka telah menjana manfaat ekonomi, saintifik dan teknologi dalam negara.

PSTA terdiri daripada Pingat Sains dan Teknologi Presiden (PSTM), Anugerah Sains Presiden (PSA), dan Anugerah Teknologi Presiden (PTA).

Presiden Halimah Yacob menyampaikan anugerah kepada penerima dalam majlis khas di Istana kelmarin.

Dua penerima PSTM ialah Profesor Edward Warren Holmes dari Jabatan Perubatan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS), yang juga Felo Kanan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star); dan Profesor Sir David Philip Lane, penasihat Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) dan Ketua Saintis A*Star.

PSA pula dianugerahkan kepada Profesor Gan Wee Teck, Profesor Ulung Jabatan Matematik Fakulti Sains NUS, dan Profesor Ng Wun Jern dari Sekolah Kejuruteraan Sivil dan Sekitaran Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Bercakap dalam majlis itu, Menteri Kewangan Heng Swee Keat menarik perhatian bahawa setiap pemenang mengecapi kejayaan yang bersifat merintis laluan.

Menurut Encik Heng, penerima antara lain menjadi tokoh pertama menghasilkan kajian dalam bidang tertentu; pertama menggunakan kajian mereka dalam cara berkesan; atau pertama yang mengumpul orang lain supaya bekerjasama menerusi cara baru.

Misalnya, Profesor Ng meneroka bidang kejuruteraan sekitaran 37 tahun lalu, yakni ketika bidang kepakaran itu belum mempunyai nama rasmi yang sesuai.

Dalam temu ramahnya dengan akhbar The Straits Times, beliau berkata bidang itu dipanggil kejuruteraan kebersihan dan ramai menganggapnya perkilangan tandas dan peralatan berkaitan.

“Gambaran mental orang ramai tentang industri ini tidak begitu positif,” ujar profesor berusia 63 tahun itu.

Beliau kemudian menjadi perintis industri, yang hari ini berubah menjadi kerjaya berprestij kerana ia membantu mengurangkan serta menguruskan sampah dan pencemaran.

PEMENANG CEMERLANG: (Dari kiri) Penerima PTA, Profesor Ng; Pemenang PSA, Profesor Gan; dua pemenang PSTM, Profesor Holmes dan Profesor Lane; bersama tiga penerima Anugerah Saintis Muda, iaitu Dr Li, saintis kajian kanan Institut Genom Singapura; Dr Song, Institut Pengkomputeran Prestasi Tinggi; dan Dr Gao dari Sekolah Sains Matematik dan Fizik NTU. Pencapaian mereka diiktiraf baru-baru ini. – Foto BH oleh DESMOND WEE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.