Kes masalah pendengaran naik dalam tempoh dua tahun

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - FARID HAMZAH

JUMLAH pesakit yang mendapatkan rawatan berkaitan isu pendengaran telah meningkat sepanjang dua tahun lalu.

Malah tahun lalu sahaja, sebanyak 7,000 ujian pendengaran dilakukan berkaitan isu tersebut.

Angka itu lebih tinggi berbanding 6,158 ujian pendengaran yang dilakukan pada 2015 dan 5,627 ujian pada 2014.

Atas sebab itu juga, lebih daripada 500 pesakit CGH didapati membeli alat pendengaran tahun lalu.

Konsultan Kanan Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak di Hospital Besar Changi (CGH), Profesor Madya Yuen Heng Wai, berkata antara sebab bilangan meningkat termasuk kesedaran yang bertambah berkaitan pendengaran dan kesedaran lebih tinggi tentang kesihatan menyeluruh.

“Kami juga lihat peningkatan ini disebabkan kesedaran bahawa adanya bantuan yang disediakan bagi pesakit yang hilang pendengaran, selain kesedaran bahawa CGH menawarkan pengurusan tambahan dan menyeluruh bagi pesakit dengan masalah hilang pendengaran,” katanya lagi.

Menurutnya, pesakit yang mendapatkan rawatan berkaitan isu pendengaran termasuk golongan remaja sehingga warga senja tetapi kebanyakan mereka merupakan golongan dewasa dan profesional yang bekerja.

Selain itu terdapat juga pesara yang ingin mendapatkan pendengaran lebih baik bagi meneruskan gaya hidup dan kegiatan sosial mereka, katanya lagi.

Yang pasti jumlah kes pesakit hilang pendengaran meningkat sejajar dengan usia.

Namun, jangkitan yang menyebabkan pesakit hilang pendengaran menjejas lebih ramai pesakit pertengahan usia.

“Sebenarnya hilang pendengaran boleh dicegah dengan mengelak diri daripada terdedah kepada bunyi bising, menghalang jangkitan dengan tidak mengorek telinga, dan tidak membiarkan air masuk ke telinga.

Ia juga boleh dirawat dengan ubat jangkitan, alat pendengaran bagi isu berkaitan penuaan dan implan pendengaran bagi mereka yang terus hilang pendengaran.

Kebanyakan orang memberi tanggapan yang negatif terhadap alat pendengaran dan akan membiarkan mereka menghidap masalah hilang pendengaran.

Alat pendengaran sepatutnya dianggap seperti cermin mata kerana ia mampu membaiki pendengaran (seperti penglihatan), tambahnya lagi.

Dalam satu e-mel berasingan, seorang pakar audiologi dengan syarikat nessa Asia, Cik Nur Nasrien Zulkafli, berkata antara punca masalah hilang pendengaran termasuk proses penuaan, pendedahan terlalu lama kepada bunyi bising, jangkitan dan penyakit (seperti meningitis), kecederaan kepada kepala atau telinga, dan masalah sejak lahir.

“Dianggarkan sekitar 87 peratus warga Singapura berusia 65 tahun ke atas mengalami sedikit masalah kehilangan pendengaran.

“Pada masa ini kadar usia pelanggan nessa ialah sekitar 64 tahun,” katanya.

Nessa merupakan syarikat setempat yang menawarkan alat pendengaran berdasarkan langganan.

Cik Nur Nasrien turut memberi amaran bahawa golongan muda juga tidak terlepas daripada menghadapi risiko masalah pendengaran berikutan amalan mereka yang suka menggunakan fon kepala atau fon telinga bagi jangka masa yang agak lama dan memilih bunyi yang kuat.

“Mereka juga terdedah kepada risiko kerana gemar mengunjungi tempat yang bising seperti kelab malam dan konsert sebegini boleh merosakkan pendengaran,” katanya.

Menurut Cik Nasrien, tiada penawar bagi masalah hilang pendengaran, namun terdapat beberapa rawatan yang boleh dilalui, namun pakar audiologi boleh membantu mengesan pilihan yang paling sesuai bagi setiap kes.

“Lebih awal masalah itu dikesan, maka lebih mudah dapatkan huraiannya, dan kesan jangka panjangnya tidak begitu ketara,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.