Diluas ke 15 masjid

Berita Harian - - BERITA -

SEBANYAK 15 masjid kini menyertai program Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk memerangi penyakit kencing manis dalam masyarakat Melayu.

Masjid itu ialah Ahmad Ibrahim, Al-Abdul Razak, Al-Ansar, Al-Istighfar, Al-Khair, Al-Mawaddah, Al-Muttaqin, Aleem Siddique, An-Nahdhah, Assyakirin, Darul Makmur, Maarof, Muhajirin, Mydin dan Yusof Ishak

Program Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas itu pada mulanya disertai lima masjid sahaja.

Sejak itu, ia telah mendekati sekitar 4,000 peserta menerusi pelbagai kegiatan dalam enam bulan pertama.

Semalam, 200 peserta menyertai acara berjalan bersama Setiausaha Parlimen (Kesihatan dan Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin di Masjid Yusof Ishak.

Acara berjalan itu bermula dan berakhir di masjid di Woodlands itu, disusuli dengan sebuah karnival yang mempunyai kegiatan seperti pemeriksaan kesihatan dan penilaian risiko diabetes.

HPB meletakkan sasaran untuk mendekati sejumlah 20 masjid dan 12,000 peserta menjelang hujung tahun ini.

Di bawah program itu, masjid menyediakan peluang bagi jemaahnya mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kegiatan kesihatan seperti Program Kegiatan Fizikal Masyarakat, demonstrasi memasak yang sihat dan bengkel mengenai penuaan positif untuk warga emas.

Masjid juga akan digalakkan menyarankan dan mendorong inisiatif baru.

Contohnya, beberapa kakitangan kafe di Masjid Al-Mawaddah di Sengkang mengikuti latihan memasak HPB bagi mempelajari cara menyediakan makanan lebih sihat.

Kantin masjid itu sekarang adalah sebahagian daripada Program Pemakanan Sihat HPB dan menawarkan lebih banyak hidangan sihat seperti nasi perang, sayur-sayuran dan sup, sandwic bijirin penuh serta minuman dengan tanda ‘Pilihan Lebih Sihat’.

Kantin itu juga telah menukar resipinya dengan menggantikan santan dengan susu rendah lemak dalam hidangan mereka.

Terdapat lebih 400,000 warga Singapura yang menghidap kencing manis dan sepertiga rakyat Singapura mempunyai risiko mendapat kencing manis dalam kehidupan mereka.

Diabetes merupakan isu kesihatan yang mendesak bagi masyarakat Melayu dengan satu dalam dua orang Melayu berusia antara 60 hingga 69 tahun menghidapi penyakit itu.

Di samping itu, orang Melayu mempunyai kadar tertinggi pesakit kencing manis dengan kawalan gula darah yang lemah.

Diabetes yang tidak dikesan atau tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit lain dan kekurangan upaya, menjejas mutu kehidupan individu dan penjaga mereka.

Faktor seperti pemakanan nasi putih, makanan digoreng dan lauk berlemak yang selalunya didapati dalam masakan Melayu serta kekurangan kegiatan fizikal dan pemeriksaan secara kerap, telah menyumbang kepada perangkaan tinggi itu dalam masyarakat Melayu, kata HPB.

JEMAAH SIHAT: Sekitar 200 peserta menyertai acara berjalan bersama Setiausaha Parlimen (Kesihatan dan Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin (barisan depan, berbaju merah) semalam sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Jaga Kesihatan, Jaga Ummah’ (JKJU). Acara itu bermula dan berakhir di Masjid Yusof Ishak. – Foto LEMBAGA PENGGALAKAN KESIHATAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.