Skim pakar siber bagi NSF untuk tingkat keselamatan siber

Berita Harian - - BERITA -

KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) akan melatih anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) yang berbakat dalam bidang keselamatan siber bagi menyertakan mereka dalam pertahanan siber elit dalam perkhidmatan tetap dengan skim kontrak jangka pendek yang baru.

Mulai semalam, mereka yang telah membuat pra-pendaftaran bagi perkhidmatan negara (NS) dan akan bermula separuh kedua 2018 dan seterusnya, boleh memohon menyertai skim tersebut, lapor The Straits Times.

Sekiranya terpilih, mereka akan berkhidmat selama tiga atau empat tahun dan menerima gaji tetap selepas menamatkan tempoh minimum sebagai NSF.

Kumpulan pakar siber itu akan mengikuti kelas bagi ijazah siber keselamatan di Institut Teknologi Singapura (SIT) sekali seminggu, semasa ditugaskan dalam peranan siber pertahanan canggih, seperti ujian penembusan, forensik siber dan analisis malware.

Dengan mengikuti kelas-kelas ini, kredit akademik boleh digunakan untuk ijazah SIT.

Mindef akan menganugerahkan antara 50 dan 70 Anugerah Pakar Siber pada tahun pertama. Ini akan meningkat kepada antara 80 dengan 90 apabila tempoh percubaan itu berakhir selepas tahun pertama.

Tujuan anugerah ini adalah untuk menarik mereka yang mempunyai kepakaran keselamatan siber – keperluan yang semakin meningkat memandangkan serangan siber lebih kerap berlaku, dan bagaimana individu yang mempunyai kemahiran dengan kepakaran mendalam dapat membuat perbezaan kritikal dalam pertahanan siber.

Anugerah ini adalah di bawah Skim Siber NSF baru, yang juga merangkumi pengendali siber NSF yang memainkan peranan yang lebih asas seperti pemantauan dan analisa ancaman sepanjang masa.

Akan terdapat kira-kira 60 pengendali setahun untuk mengisi peranan ini.

Kerjaya siber dalam pertahanan pertama kali diumumkan semasa Jawatankuasa Perbahasan Perbekalan pada Mac 2017.

Semalam, Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Kemahiran) dan Menteri Kedua Pertahanan, Encik Ong Ye Kung, menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Mindef dan SIT.

Beliau berkata Skim Siber NSF merupakan gabungan tiga trend.

“Satu adalah keperluan operasi SAF untuk mempertahankan negara kita dengan lebih baik, terutamanya dalam bidang pertahanan siber. Dua, kebangkitan kumpulan muda yang sebenarnya sangat au fait (berpengalaman) dengan pertahanan siber dan kami mahu memanfaatkan kepakaran mereka.

“Tiga, evolusi dalam kaedah mengajar di semua institut pengajian tinggi kita, di mana ia bukan hanya kuliah yang tulen tetapi juga pengalaman keadaan sebenar yang berlaku,” katanya.

MOU itu ditandatangani oleh Encik David Koh, Timbalan Setiausaha (projek khas) di Mindef, dan Profesor Loh Han Tong, timbalan presiden SIT (akademik) dan provost.

Kerjasama itu juga melibatkan Agensi Keselamatan Siber dan SkillsFuture Singapore.

Perjanjian itu adalah program kerja-belajar pertama antara Mindef dan institut pendidikan di mana NSF boleh menghadiri kursus akademik semasa bekerja dalam peranan operasi.

Sambil menyebut contoh banyak negara, termasuk Singapura, yang menghadapi serangan siber yang lebih kerap dan rumit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Encik Koh berkata:

“Meningkatnya serangan siber merupakan petanda jelas bahawa ruang siber merupakan medan perang akan datang, dan keselamatan siber merupakan imperatif nasional.

“Faktor kejayaan kritikal dalam doman siber ialah individu-individu yang amat berkemahiran dan berbakat dengan keupayaan siber yang mendalam,” tambah Encik Koh lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.