Kes rampasan dadah: Bot nelayan kibar bendera S’pura untuk tipu pihak berkuasa

Berita Harian - - BERITA -

SEBUAH bot nelayan yang ditangkap cuba menyeludup satu tan dadah meth kristal (singkatan nama saintifik Methamphetamine), mengibarkan bendera Singapura kononnya untuk cuba menipu pihak berkuasa, demikian menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) semalam.

Angkatan laut Indonesia telah menahan bot nelayan itu dekat Batam Rabu lalu dan menemui dadah yang disembunyikan dalam 41 guni beras.

CNB semalam berkata, bot tersebut tidak berdaftar di Singapura tetapi di Taiwan sebagai ‘Shun De Man No66’.

Tambahnya, siasatan awal oleh pihak berkuasa di Indonesia mendedahkan bahawa ketika bot itu ditahan, sindiket Taiwan telah menggunakan nama rekaan ‘Sunrise Glory’ dan mengibarkan bendera Singapura secara palsu.

Menurut akhbar The Straits Times, bot itu dikesan oleh pasukan rondaan angkatan tentera laut Indonesia apabila ia memasuki perairan Indonesia di Selat Singapura.

Bot itu diarah berhenti sebelum pegawai angkatan laut menaikinya untuk diperiksa di Selat Phillip, berhampiran pulau dekat Batam.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa walaupun bot itu mengibarkan bendera Singapura ketika itu, empat kru warga Taiwan dalam bot tersebut hanya dapat menghasilkan salinan bagi dokumen pendaftaran, yang kononnya dari Indonesia.

Malah, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa bot itu telah menggunakan nama ‘Sun De Man 66’ sementara satu bendera Taiwan turut ditemui dalam bot itu.

Pegawai kastam Indonesia, dengan bantuan anjing pengesan, kemudian menemukan dadah dalam bot itu semasa pemeriksaan lanjut di Pelabuhan Batu Ampar di Batam.

Mereka menahan kru bot bagi siasatan.

Sabtu lalu, satu lagi bot yang digunakan untuk menyeludup rokok dan minuman keras turut mengibarkan bendera Singapura untuk cuba menipu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, usaha itu dipatahkan pihak berkuasa Malaysia di Johor Bahru, menurut agensi berita Bernama.

Sebuah pasukan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menahan bot tersebut sekitar 6 petang, kira-kira dua batu nautika dari Tanjung Piai di Pontian.

DIRAMPAS: Pegawai Indonesia menunjukkan lebih satu tan dadah methamphetamine yang dirampas daripada bot nelayan ‘Sunrise Glory’ dekat Batam. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.