Presiden Halimah lantik tiga Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi

Berita Harian - - BERITA -

PRESIDEN Halimah Yacob telah melantik Encik Tan Puay Boon, Cik Mavis Chionh dan Encik Ang Cheng Hock sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi.

Encik Tan, 62 tahun, dan Cik Chionh, 48 tahun, akan memulakan peranan baru mereka mulai 12 Mac, bagi tempoh tiga tahun.

Pelantikan Encik Ang, 47 tahun, pula akan bermula pada 14 Mei bagi tempoh 18 bulan, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan semalam.

Menurut akhbar The Straits Times, Encik Tan dan Cik Chionh akan mengangkat sumpah di Istana pada 16 Mac manakala Encik Ang pula akan mengangkat sumpah pada 17 Mei.

Encik Tan telah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Daerah di jabatan keadilan sivil Mahkamah Negara selama hampir tiga tahun.

Beliau dilantik menjadi pengarah Biro Bantuan Guaman Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada Januari 2007 dan memainkan peranan sebagai ketua pegawai maklumat kementerian itu dari Jun 2013 hingga April 2015.

Secara keseluruhan, Encik Tan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam Khidmat Guaman Singapura, selepas menyertai Pejabat Peguam Negara (AGC) sebagai Peguam Negara pada 1987.

Cik Chionh, yang kini berkhidmat sebagai Peguam Cara Negara Kedua AGC, menyertai khidmat guaman pada 1991.

Beliau merupakan lulusan dari Universiti Oxford dan mempunyai Sarjana Undang-Undang (Undang-Undang China) dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Pada 2011, beliau menjadi ketua pendakwa dalam divisyen jenayah kewangan dan teknologi AGC, yang sebelum ini dikenali sebagai divisyen jenayah ekonomi dan tadbir urus.

Beliau juga mula memegang jawatan sebagai ketua pendakwa dalam divisyen keadilan jenayah pada 2015.

Sementara itu, Encik Ang kini merupakan rakan kongsi di firma guaman Allen & Gledhill dan beliau adalah anggota jabatan pendakwaan serta huraian pertelingkahan syarikat itu.

Pada 2009, beliau menjadi antara peguam termuda dilantik sebagai peguam kanan pada usia 38 tahun.

Dengan pelantikan baru itu, Mahkamah Agung akan mempunyai 21 hakim, tujuh pesuruhjaya kehakiman, empat hakim kanan dan 15 hakim antarabangsa secara keseluruhan.

Encik Tan Puay Boon, Cik Mavis Chionh dan Encik Ang Cheng Hock kini merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi. – Foto MAHKAMAH TINGGI SINGAPURA

DILANTIK PRESIDEN: (Dari kiri)

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.