Periksa demi cegah sakit

Berita Harian - - SUKAN -

MELAKUKAN pemeriksaan kesihatan tidak bermakna seseorang itu akan terus dimasukkan ke hospital.

Sebaliknya, pemeriksaan bertujuan mengesan sebarang penyakit awal agar pencegahan dan pengawalan lebih baik dilakukan.

Hal tersebut ditekankan doktor keluarga Banyan Clinic, Dr Elly Sabrina Ismail, bagi menyangkal mitos pemeriksaan kesihatan.

Bercakap dalam acara ‘Awak OK?’ Jom Bual-Bual Kesihatan, beliau berkata banyak penyakit hari ini, termasuk penyakit kronik, tidak ketara menunjukkan tanda awal.

Justeru, dengan menjalani pemeriksaan secara kerap, sebarang penyakit dapat dikesan awal, katanya.

“Dalam kalangan pesakit saya, ramai sebenarnya sudah pun mengalami sesuatu penyakit bagi tempoh agak lama dan hanya dikesan selepas keadaan mereka sudah melarat atau berdepan dengan komplikasi.

“Pemeriksaan kesihatan, jika dilakukan secara konsisten, boleh mengelakkan sesuatu penyakit itu, terutama yang kronik dan serius, daripada melarat.

“Pengesanan awal membolehkan seseorang mencegah penyakit dan mengawalnya dengan lebih baik,” ujarnya.

Bagi mereka yang berpendapat tidak perlu menjalani pemeriksaan kerana tidak sakit dan rasa sihat, Dr Elly menegaskan bahawa itu bukanlah sikap yang tepat.

“Kadangkala, daripada segi luaran, seseorang itu tampak sihat. Tetapi kesihatan dalaman diri kita tidak boleh nampak dengan mata kasar dan tidak akan tahu kecuali dengan melakukan pemeriksaan,” ujarnya.

Dr Elly turut menggalak masyarakat supaya menghakis rasa ‘takut atau seram’ melakukan pemeriksaan kesihatan kerana khuatir akan dimasukkan hospital.

“Sebenarnya, saya perhatikan bahawa 80 peratus pesakit saya yang menjalani pemeriksaan kesihatan tidak dimasukkan ke hospital.

“Pemeriksaan itu bertujuan melihat apakah aspek kesihatan kita yang boleh diperbaiki dan dengan melakukannya secara konsisten membolehkan seseorang memantau tahap kesihatan. Maka itu, rasa takut ini tidak berasas,” ujarnya.

Secara umum, beliau berkata warga harus menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga tahun.

Wanita berusia 25 tahun ke atas pula digalak menjalani ujian pap smear manakala warga berumur 50 tahun ke atas wajar melakukan ujian najis setiap tahun bagi mengesan barah usus besar.

“Hakikatnya, pemeriksaan kesihatan ini tidak sekerap seperti kita membayar insurans kereta kita bukan? Jadi kita perlu memandang serius usaha ini,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.