Apartmen Pearl Bank akan dibangun semula selepas dijual kepada CapitaLand

Berita Harian - - BERITA -

APARTMEN Pearl Bank, hartanah mercu tanda yang berbentuk tapak kuda berdekatan stesen MRT Outram Park akan dibangunkan semula selepas djual kepada CapitaLand dalam satu penjualan kolektif bernilai $728 juta.

Menurut The Straits Times, CapitaLand berkata pembelian itu – yang dipadankan dengan harga simpanan pemilik – dibuat menerusi penjualan kolektif perjanjian privet.

Bergantung kepada syarat-syarat tertentu, CapitaLand merancang mahu membangunkan semula tapak itu menjadi sebuah projek pembangunanan perumahan yang terdiri daripada 800 unit kemudahan “sosial yang dikongsi.”

Apartmen setinggi 37 tingkat itu telah dijual selepas penutupan tender penjualan kolektif Disember tahun lalu.

Ia memiliki sejumlah 288 unit termasuk 280 unit apartmen dan lapan unit komersial serta tempoh pegangan 99 tahun sejak Jun 1970.

Para pemilik unit apartmen yang berkeluasan 123 meter segi (sqm) hingga 371 sqm dijangka menerima di antara $1.8 juta dengan $4.9 juta daripada penjualan tersebut.

Menurut laporan itu, pemilik unit komersial yang berkeluasan 65 sqm hingga 523 sqm pula dianggarkan menerima antara $1.2 juta dengan $46.9 juta.

Tapak apartmen tersebut juga akan bergantung kepada Kajian Kebolehlaksanaan Sebelum Permohonan (PAFS), yang diumumkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 13 November lalu.

Encik Alex Poh, Pengerusi jawatankuasa penjualan kolektif Pearl Bank Apartments berkata:

“Pengenalan PAFS, hanya beberapa minggu selepas penutupan tender awam itu merupakan satu hambatan bagi penjualan ini kerana pihak yang berminat memerlukan masa untuk menilai kesannya.”

Namun beliau gembira cabaran itu diatasi dengan rangkaian pelabur dan kepakaran hartanah yang dimiliki oleh Colliers International, syarikat hartanah yang menguruskan projek itu.

PEARL BANK: Bangunan unik ini akan dibangunkan semula menjadi pembangunanan perumahan yang terdiri daripada 800 unit kemudahan “sosial yang dikongsi.” – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.