Komik bantu pelajar asah kemahiran tulis esei bahasa Cina

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

KARYA komik akan digunakan untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menengah yang lemah dalam bahasa Cina mengasah kemahiran menulis esei.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan), Cik Low Yen Ling, semalam melancarkan Program Penulisan Esei Kreatif Komik yang telah disemak itu.

Program itu menggunakan komik untuk memupuk pemikiran kritikal dalam kalangan pelajar.

Sebanyak empat sesi – setiap sesi dua jam dan menampung seramai 20 pelajar – akan diadakan secara percuma selepas masa kurikulum di sekolah yang menyertai program itu.

Pelajar boleh membeli bahan pembelajaran itu pada harga $10.

Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Cina (CPCLL), yang menerajui program itu, akan melatih jurulatih bagi program tersebut.

“Kami berharap para pelajar akan meraih inspirasi dan mendorong daya imaginasi mereka untuk menulis esei, dan memupuk rasa cinta kepada bahasa Cina,” kata Cik Low.

Bahan pembelajaran itu merangkumi kompilasi karya komik oleh kartunis setempat dan ketua jabatan program khas (budaya Cina) Sekolah Tao Nan, Encik Ang Thiam Poh.

Ini diiringi satu set soalan pemikiran kritikal yang dibangunkan ketua Kumpulan Penulisan CPCLL, Dr Chua Chee Lay.

“Untuk menulis dengan baik, pelajar perlu berfikir secara kritikal dan merancang idea mereka dengan teliti sebelum meluahkannya menerusi kata-kata. Oleh itu, penyoalan kritikal akan sangat berguna dalam merangka tulisan mereka,” kata Dr Chua.

Sebelum ini, program itu dikenali sebagai Program Penulisan Komik Cina, yang dilancarkan pada 2015, dan memberi lebih tumpuan pada penulisan dialog.

Sekolah boleh mendaftar untuk program yang bermula semalam, dengan kelasnya bermula akhir tahun ini.

Sekitar 25 sekolah rendah dan menengah dijangka mendaftar, memberi manfaat kepada 500 murid darjah tiga hingga pelajar menengah dua.

Sekolah boleh memilih versi asas atau biasa berdasarkan keupayaan pelajar mereka.

Jika menerima sambutan baik, program itu mungkin ditawarkan kepada pelajar daripada kumpulan umur atau bahasa ibunda lain, kata pengarah Cawangan Bahasa Ibunda Kementerian Pendidikan, Cik Heng Boey Hong.

Inisiatif CPCLL yang diperluaskan kepada pelajar bahasa Melayu dan Tamil, termasuk Program Belajar Wow Wild, yang bertujuan menghidupkan pembelajaran bahasa ibunda kepada kanakkanak prasekolah melalui lawatan ke Sungai Safari.

BAHASA MENERUSI KOMIK: Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan), Cik Low Yen Ling (duduk tengah), bersama murid Sekolah Rendah Kuo Chuan Presbyterian semasa kelas menulis esei mereka kelmarin. – Foto BH oleh JONATHAN CHOO

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.