Pasar raya Giant siasat kes video tular telur berulat

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

CAWANGAN pasar raya Giant sedang menyiasat video tular yang menunjukkan ulat dalam bungkusan telur di pasar raya tersebut di Tampines Hypermarket.

Video tersebut dimuatnaik oleh Encik Leonard Tang di Facebook pada 8.04 malam Ahad lalu.

Ia telah menarik lebih 162,000 tontonan dan sekitar 6,000 perkongsian.

Papan tanda berdekatan bungkusan telur tersebut memaparkan logo “Giant Farm Fresh Eggs” dan ia dijual pada $4.45 sebungkus yang mengandungi 25 telur.

Encik Tang, 36 tahun, memberitahu akhbar The Straits Times kelmarin, beliau berada di pasar raya tersebut antara 6 hingga 7 petang Ahad lalu.

“Ulat-ulat tersebut dijumpai dalam sekitar empat hingga lima bungkusan telur,” kata Encik Tang.

“Saya ingin membeli telur-telur tersebut. Apabila saya mengangkat bungkusan pertama untuk menelitinya, saya sedar bahawa bungkusan kedua dan ketiga dipenuhi ulat.”

Encik Tang, yang bekerja sendirian, berkata beliau tidak memberitahu kakitangan di Giant kerana beliau terpaksa menjaga empat anaknya yang sedang berlari di pasar raya tersebut.

“Ini merupakan kali pertama saya melihat perkara ini,” katanya.

“Saya ke sini sebulan sekali dan berbelanja ratusan dolar setiap kali.”

Jurucakap Giant memberitahu The Straits Times bahawa Giant Tampines tidak menerima sebarang aduan daripada pelanggan mengenai ulat yang ditemui di bungkusan telur.

Malah, pasukan operasi gedung telah menemui bungkusan telur tersebut semasa pemeriksaan rutin sebelum membuka kedai Isnin lalu.

“Bungkusan telur yang terjejas bersama enam lagi bungkusan yang tidak terjejas di kelilingnya telah dialihkan dan dibuang, kawasan sekitarnya juga dibersihkan,” kata jurucakap tersebut.

Pada masa yang sama, Giant telah menjalankan pemeriksaan segera bagi kesemua bungkusan telur yang lain dari kumpulan yang sama di semua cawangannya.

Cawangan pasaraya tersebut meminta maaf atas kejadian tersebut dan meyakinkan pelanggan bahawa terdapat langkah-langkah yang dikuatkuasakan untuk memastikan mutu dan keselamatan makanan, demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan pelanggan.

Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA) memberitahu The Straits Times bahawa ia sedang menyiasat perkara tersebut.

ULAT DALAM BUNGKUSAN TELUR: Bungkusan telur di pasaraya Giant Tampines dikatakan berulat, menurut video yang tersebar di media sosial. – Foto FACEBOOK/LEONARD TANG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.