Ekon S’pura tumbuh 3.6% pada 2017, diramal naik lebih perlahan tahun ini

Berita Harian - - MUKA DEPAN - NORHAIZA HASHIM

EKONOMI Singapura tumbuh lebih kukuh sebanyak 3.6 peratus tahun lalu, melebihi anggaran awal 3.5 peratus sebelum ini.

Ia meningkat berbanding pertumbuhan 2.4 peratus pada 2016 dan didorong sektor perkilangan yang tumbuh kukuh, menurut perangkaan terbaru Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) bagi suku terakhir dari Oktober hingga Disember tahun lalu pula meningkat 3.6 peratus selepas tumbuh 5.5 peratus pada suku ketiga.

Namun, MTI berkata prospek permintaan luaran Singapura ‘dijangka lemah sedikit’ pada 2018 berbanding 2017.

Pemerintah meramalkan ekonomi Singapura tumbuh 1.5 hingga 3.5 peratus, dengan jangkaan pertumbuhan lebih tinggi sedikit daripada pertengahan julat ramalan.

Mengulas prestasi pertumbuhan ekonomi tahun lalu yang tumbuh lebih tinggi daripada 2016, Setiausaha Tetap MTI, Encik Loh Khum Yean, berkata pemulihan elektronik tahun lalu mendorong keluaran sektor perkilangan yang tumbuh kukuh sebanyak 10.1 peratus.

Industri perkhidmatan meningkat 2.8 peratus disokong sektor kewangan dan insurans, dagangan runcit dan borong serta pengangkutan.

Namun sektor binaan menguncup 8.4 peratus tahun lalu disebabkan kelemahan kegiatan binaan swasta.

Mengenai prospek tahun ini, Encik Loh berkata: “Penilaian MTI kekal bahawa prospek permintaan luaran Singapura dijangka lebih lemah tahun ini berbanding 2017.

“Walaupun risiko makroekonomi sejagat telah mulai reda sejak akhir tahun lalu, beberapa risiko masih boleh menjejas ekonomi sejagat jika ia berlaku.’’

Beberapa risiko yang menjadi keprihatinan MTI ialah dasar perlindungan di Amerika Syarikat yang boleh menjejas dagangan dunia, serta kenaikan inflasi yang boleh menyebabkan bank pusat Amerika meningkatkan kadar faedah dengan lebih pantas.

Sejajar dengan ramalan MTI bahawa ekonomi akan tumbuh 1.5 hingga 3.5 peratus tahun ini, beberapa bank seperti UOB meningkatkan pertumbuhan GDP kepada 2.8 peratus dari 2.5 peratus sebelum ini.

OCBC pula mengekalkan ramalan pertumbuhan 2 hingga 4 peratus tahun ini.

MTI meramalkan sektor perkilangan akan terus berkembang dan menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini.

Sektor perkhidmatan berorientasi domestik seperti runcit dan khidmat makanan akan pulih disebabkan sentimen pengguna lebih positif sejajar dengan pemulihan dalam pasaran buruh.

Sektor lain seperti maklumat dan komunikasi, pendidikan, kesihatan dan khidmat sosial dijangka terus kukuh.

Namun, sektor binaan dan kejuruteraan marin dan luar pesisiran akan terus lemah dan mencabar tahun ini.

Ditanya mengenai penurunan harga ekuiti sejagat baru-baru ini, Timbalan Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Cik Jacqueline Loh, berkata ketidaktentuan pasaran saham itu tidak akan memberi kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi sejagat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.