Eksport bukan minyak S’pura naik 8.8% tahun lalu

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - NORHAIZA HASHIM

DAGANGAN Singapura berubah positif tahun lalu sejajar dengan pemulihan dagangan sedunia.

Setelah menguncup 4 peratus pada 2016, Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (NODX) meningkat 8.8 peratus tahun lalu.

Kedua-dua NODX bagi elektronik dan bukan elektronik masing-masing meningkat 8 peratus dan 9.2 peratus pada 2017, menurut kenyataan agensi pemerintah International Enterprise (IE) Singapore.

Tahun ini, IE meningkatkan ramalan NODX – yang merupakan kayu ukur prestasi dagangan luar Singapura – kepada 1 hingga 3 peratus, daripada 0 hingga 2 peratus.

Kesemua NODX ke 10 pasaran dagangan utama Singapura meningkat kecuali Hongkong.

NODX ke Korea Selatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 43.5 peratus tahun lalu, diikuti dengan China yang naik 31.1 peratus sementara NODX ke Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) masing-masing meningkat 3.8 peratus dan 0.1 peratus, manakala NODX ke Malaysia dan Indonesia juga tumbuh 12.9 peratus dan 8.1 peratus.

“China, Korea Selatan dan Malaysia memberi sumbangan terbesar kepada NODX. Kenaikan kiriman emas (bukan kewangan atau non-monetary), petrokimia dan litar bersepadu (IC) mendorong kenaikan NODX ke China. Pertumbuhan NODX ke Korea Selatan juga disebabkan sebahagian besarnya oleh eksport lebih tinggi bagi mesin khas, instrumen pengukur dan komputer peribadi, manakala NODX ke Malaysia meningkat kerana eksport IC, mesin khusus dan barangan rumah,’’ ujar Laporan Tinjauan Ekonomi Tahun lalu dibentangkan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) yang dikeluarkan semalam.

Dalam kenyataan IE Singapore semalam, ia menyatakan pertumbuhan dagangan Singapura secara keseluruhan meningkat 11.1 peratus mencapai $967 bilion tahun lalu, mengubah penurunan dicatatkan pada 2016 dan 2015.

“Rentak pertumbuhan bagi NODX dan dagangan keseluruhan dijangka sederhana tahun ini dari prestasi kukuh pada 2017. Pertumbuhan dijangka reda bagi beberapa negara rakan dagangan utama seperti China, Jepun, zon Euro dan ekonomi-ekonomi perindustrian baru (NIE),’’ kata IE.

Mengambil kira pertimbangan itu, ramalan pertumbuhan NODX dan jumlah dagangan keseluruhan meningkat kepada 1 hingga 3 peratus dan 3 hingga 5 peratus.

Ia didorong oleh trend eksport seperti kelompok mesin dan kimia yang dijangka terus positif tahun ini, di samping pemulihan kecil bagi pertumbuhan dagangan sejagat seperti diramal Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

PENGEMBANGAN EKONOMI: Menurut IE Singapore, kesemua Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri ke 10 pasaran dagangan utama Singapura meningkat kecuali Hongkong. – FOTO fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.