Singapura antara tiga kota dunia ketuai usaha galak warga aktif

Berita Harian - - SUKAN -

SINGAPURA, bersama London dan Auckland semalam dinamakan sebagai ‘Founding Cities’ atau Kota Perintis dalam satu inisiatif yang bertujuan menggalak warga kota sedunia menjadi aktif.

Dikenali sebagai Warga Aktif Sedunia (ACW), inisiatif ini dibangunkan untuk memberi penggubal dasar dan agensi bimbingan strategik berdasarkan bukti untuk membangun kegiatan fizikal dan campur tangan sukan, lapor akhbar The Straits Times semalam.

Tambahnya, inisiatif ini turut bertujuan ‘menyediakan peluang unik untuk menetapkan ukur tara sedunia dan perkongsian kemahiran’ tentang kegiatan warga kota sedunia.

Timbalan ketua pegawai eksekutif Sport Singapore(SportSG), Dr Chiang Hock Woon berkata:

“SportSG berasa terhormat menjadi salah satu daripada tiga kota perintis projek Warga Aktif Sedunia.

“Sebagai sebahagian rancangan induk sukan Wawasan 2030, kami komited menggunakan sukan sebagai strategi untuk menggalak warga kami hidup dengan lebih sihat dan lebih bermakna.

“Kami berharap kerjasama berdasarkan perkongsian idea dan perkongsian amalan terbaik ini akan berjaya. Kami berharap gerakan ini akan menggalakkan kota yang bersependapat untuk mengambil bahagian di masa depan,” jelas Dr Chiang.

Singapura melancarkan ActiveSG 2014 – gerakan senegara yang bertujuan menggalak warga menjalani hidup lebih sihat dengan bersukan dan bersenam.

Dalam pada itu, mengulas tentang pelancaran inisiatif ACW ini, ketua eksekutif London Sport, Cik Tove Okunniwa, berkata matlamatnya ialah untuk menggalak sejuta penduduk London menjadi lebih aktif menjelang 2020.

“ACW menawarkan peluang baik untuk memperluas pemahaman kita tentang apa yang boleh mendorong penduduk di kota menjadi lebih aktif,” kata beliau.

Dr Sarah Sandley, ketua eksekutif Aktive – badan sukan yang berpangkalan di Auckland – berkata:

“Aktive komited membantu orang ramai dan masyarakat di Auckland untuk menjadikan sukan dan kegiatan riadah tabiat harian sepanjang riwayat mereka.

“Peranan Auckland sebagai Kota Perintis di ACW akan membantu dalam usaha menjejak inisiatif yang mampu dilaksana untuk mencapai matlamat,” kata Dr Sandley.

Difahami, kota baru akan ditambah kepada masyarakat ACW sepanjang 2018, dengan kota yang berminat menyertai inisiatif ini digalak menghubungi wakil London Sport, Aktive atau SportSG untuk mendapatkan keterangan lanjut.

GALAK RAKYAT MENJADI AKTIF: Singapura menyertai London dan Auckland yang dinamakan sebagai Kota Perintis dalam satu inisiatif global untuk mengalak warga kota untuk kekal aktif. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.