Mantan hakim jadi relawan kumpul bahan sejarah

Berita Harian - - SUKAN -

SELAKU mantan hakim selama lebih 35 tahun, tugas Encik Abdul Rahim Jalil adalah membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman serta tidak terlibat dalam soal siasat di mahkamah.

Tetapi kini peranannya berubah – kerana sebagai penemu ramah sukarelawan bagi Jawatankuasa Sejarah Lisan Masyarakat Melayu, beliau perlu memikirkan bermacam soalan untuk diajukan kepada individu yang ditemu duga.

Encik Abdul Rahim, 70 tahun, telah menjadi penemu ramah sukarelawan sejak 2016.

“Dulu sebagai seorang hakim, tugas saya ialah menghukum orang. Namun sekarang sebagai seorang penemu ramah, saya tidak boleh menghukum orang yang ditemu ramah.

“Saya harus mendengar cerita mereka dan mengajukan pelbagai soalan yang menarik. Ini berbeza dengan tugas seorang hakim yang tidak pernah terlibat dalam proses soal siasat,” jelas beliau yang sudah menemu ramah dua profil.

Justeru, ia satu pengalaman baru yang amat menarik baginya, malah memberi beliau kepuasan yang tinggi kerana dapat menyumbang kepada pengumpulan sejarah masyarakat Melayu.

Encik Abdul Rahim menyifatkan usaha mengumpul sejarah lisan itu sebagai satu yang perlu demi mengabadikan dan menyimpan sejarah masyarakat Melayu untuk generasi mendatang.

Apabila ditanya mengenai pengalaman manis sebagai penemu ramah sejauh ini, Encik Abdul Rahim berkata salah satu individu ditemu ramahnya – Haji Misri Wathiman – telah menceritakan tentang ‘tempat permainannya’ semasa kecil ketika menyentuh sejarah di sekitar Masjid Hajjah Fatimah, di Beach Road dan berdekatan dengan Kampong Glam.

“Dalam temu ramah itu, beliau menyebut tentang sebuah perigi di sebelah masjid itu, dan ia terus menimbulkan nostalgia kerana saya tahu perigi itu dan ingat dengan jelas sekali!

“Saya sering bermain di perigi itu semasa kecil dan selalu melihat sepupu-sepupu saya membasuh baju dan mandi di sana.

“Keluarga ayah saya tinggal berdekatan di sana jadi saya sering melawat mereka. Saya juga selalu ke masjid itu untuk belajar agama manakala pakcik saya merupakan bilal di masjid itu,” singkap beliau.

Walaupun tiada cabaran besar dihadapi dalam menjalankan tugasnya itu tetapi Encik Abdul Rahim pernah mengalami ‘kegenjotan’ semasa mewawancara. “Selepas menemu ramah selama dua jam, saya sedari tiada satu pun yang terakam di alat perakam. Rupa-rupanya saya tidak menekan butang yang diperlukan.

“Mujur orang ditemu ramah faham dan saya dapat melakukan semula temu ramah itu. Namun kejadian itu membuat saya lebih berhati-hati bila menggunakan alat perakam dan kini lebih mahir,” terangnya sambil tertawa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.