Golongan awal khidmat pada negara dengan jalani NS

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - NUR FATHIN AWALLUDIN nfathin@sph.com.sg

SELAMA 72 jam beliau tidak pulang ke rumah kerana dikerah membantu dalam operasi menyelamat ketika Hotel New World runtuh.

Meskipun kejadian tersebut berlaku pada 15 Mac 1986, Encik Taksen Rodi dapat menceritakannya bagai ia baru berlaku semalam.

Kejadian tersebut digambarkannya sebagai “peristiwa pahit” dan “tragedi yang begitu susah”.

Sebagai anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) ketika itu, Encik Taksen, 68 tahun, merupakan antara yang terawal dikerah untuk memberi pertolongan.

“Saya masih ingat lagi, saya merupakan antara lima orang yang merupakan responder pertama.

“Kita tak boleh bayangkan Hotel New World itu jadi apa.

“Saya dan kawan-kawan saya (dari SCDF) bawa alat-alat penyelamat yang biasa, tali dan sebagainya, tapi bila kita sampai di tempat kejadian, kita tak tahu nak mula dari mana,” kongsi beliau.

Pengalaman tersebut bukan sahaja tidak dapat dilupakannya, malah sering dikongsi dengan orang ramai untuk mengingatkan mereka tentang betapa pentingnya orang kita harus tahu pertahankan negara sendiri seandainya perkara sebegitu berlaku.

Encik Taksen berkhidmat bersama SCDF sehingga berusia 55 tahun, sebelum bersara dan menjadi guru Bahasa Melayu selama 10 tahun.

Dilahirkan pada 1950, Encik Taksen merupakan sebahagian daripada Generasi Merdeka, iaitu mereka yang dilahirkan antara 1950 dengan 1959.

Ini bererti beliau juga merupakan antara kumpulan terawal yang dipanggil untuk melakukan Perkhidmatan Negara (NS).

Berkongsi tentang hal tersebut, Encik Taksen berkata:

“Waktu itu saya menengah empat. Kita dapat surat, bapak pun tak tahu surat apa jadi kita buka dan baca sendiri.

“Eh, rupa-rupanya kita kena laporkan diri di pusat kerahan yang terletak dekat Kallang dulu.

“Saya ingat lagi kita perlu melalui pemeriksaan kesihatan, kemudian kita semua berkumpul dan mengangkat sumpah, kemudian kita dibenarkan balik.

“Dapat surat lagi, kita disuruh untuk melaporkan diri pada 7 malam... kemudian kita diarahkan naik lori dan kita dibawa ke tempat yang kita tak tahu langsung di Pasir Laba.

“Wah, sampai sana sahaja dah mula pekik-pekik!” cerita beliau dengan begitu semangat.

Pengalaman tersebut amat baru baginya kerana sebagai kumpulan terawal yang perlu menjalani NS, tiada cerita yang boleh didengar dan dikongsi oleh orang yang pernah melalui pengalaman serupa.

Ditemui Berita Harian di rumahnya baru-baru ini, datuk lima cucu itu sempat berkongsi pengalaman zaman kanak-kanaknya dahulu, yang jelas jauh berbeza daripada apa yang dialami kanak-kanak hari ini.

Dibesarkan di Bussorah Street, Encik Taksen, anak ketiga daripada keluarga 13 beradik, berkata kehidupan mereka sekeluarga tidak mewah.

Namun, dengan pendapatan arwah bapanya yang merupakan penjaja kuih ketika itu, kehidupan keluarga beliau tidaklah melarat.

Berbekalkan wang saku 10 sen atau 20 sen, beliau dan abangnya akan berjalan kaki ke Sekolah Melayu Kota Raja Pagi yang terletak kira-kira 20 minit daripada rumah mereka.

“Waktu itu, 10 sen, 20 sen dah cukup. Wang 10 sen kami dapat beli mi goreng, mi siam atau roti perata. Air minum kami dah ada,” kata beliau.

Untuk mendapatkan wang tambahan, Encik Taksen akan menjaja kuih-muih, bersorai dari pintu ke pintu di kawasan kampung di Kandahar Street, Istana Kota Raja (kini dikenali sebagai Taman Warisan Melayu) dan Pahang Street.

“Kami cuma dapat wang dalal 30 sen hingga 50 sen sedulang kuih,” tambahnya.

Pengalaman-pengalaman tersebutlah yang banyak mempengaruhi diri beliau dan mereka yang seusia dengannya.

Banyak nilai yang mereka pelajari dek perlu melalui kehidupan sedemikian.

Ditanya apakah antara nilai terpenting yang dipelajarinya, Encik Taksen dengan mudah menjawab:

“Kesabaran dan pengorbanan. Kita terpaksa berkorban untuk adik-adik kita.

“Kedua, kita faham negara perlukan kita, kalau kita tak pertahankan negara, siapa lagi yang akan pertahankan negara?

“Ini tanah air kita, kita dilahirkan di sini, nanti kita mati di sini, dan di sinilah yang patut kita perjuangkan untuk negara kita.”

Beliau juga berkata generasinya amat berbeza dengan generasi sekarang, banyak perkara yang dinikmati kini tidak wujud pun pada waktu dahulu.

Bahkan, banyak pengorbanan yang dilakukan Generasi Merdeka, katanya.

“Waktu Singapura dibangunkan, kitalah yang menjadi tulang belakang, bekerja di sana sini dan di mana-mana tempat kita ada.

“Generasi kita inilah... yang menjadi asas (pembangunan Singapura),” ujar Encik Taksen.

BERKHIDMAT DEMI NEGARA: Encik Taksen (memakai beret hitam) merupakan antara kumpulan pertama yang dikerah untuk mengikuti Perkhidmatan Negara. Beliau berkhidmat bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebelum bersara pada usia 55 tahun.– Foto ihsan TAKSEN RODI

PENGALAMAN DAHULU BERHARGA: Encik Taksen Rodi akur pengalaman hidup yang dilaluinya dahulu mengajar beliau tentang nilai kesabaran dan pengorbanan. – Foto BH oleh JASMINE CHOONG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.