Sekitar 20,000 pekerja dijangka terlibat semasa pembinaan T5 Changi

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SATU tapak luas bersebelahan dengan Lapangan Terbang Changi akan menjadi zon binaan besar-besaran apabila kerja pembinaan terowong dimulakan tahun depan dan terminal penumpang baru – Terminal 5 – dibina pada 2020.

Ini bermakna sekitar 20,000 pekerja berbanding 3,000 sekarang dijangka berpangkalan di tapak pembangunan Changi East itu nanti.

Disebabkan skala projek tersebut, Kumpulan Changi Airport(CAG) telah melancarkan beberapa inisiatif bagi memastikan keselamatan pekerja dan premis itu.

Ini adalah kritikal dalam memastikan tiada gangguan terhadap operasi penerbangan di lapangan terbang, jelas Penolong Pengurus Besar CAG, Keselamatan Changi East, Encik Marken Ang, menurut The Straits Times semalam.

Antara langkah baru diperkenal semasa pembukaannya bulan lalu adalah pusat pemeriksaan di tempat kerja bagi memantau pergerakan manusia dan kenderaan yang keluar masuk premis itu, jelas beliau.

Kemudahan itu, buat masa ini, boleh menguruskan sehingga 500 kenderaan dan 8,000 pekerja bagi setiap jam.

Pekerja yang memasuki lapangan akan diberi alat isyarat (transponder) setiap hari, yang harus dikembalikan apabila mereka meninggalkan kawasan itu.

Pagar maya pula dibangunkan, sekiranya seorang pekerja merentasi pagar itu untuk memasuki kawasan dilarang, alat amaran akan dibunyikan bagi memaklumkan pengurus yang sedang bertugas.

Semua kerja akan dipantau dari sebuah pusat kawalan, yang menerima maklumat menerusi satu rangkaian kamera pemantauan dan siaran langsung daripada penyelia di lapangan.

“Kita harus berwaspada kerana pekerja dan kenderaan bekerja rapat di lapangan.

“Dengan menggunakan teknologi, misalnya, penjejakan elektronik dan pemagaran berdasarkan geografi, kita dapat mengesan di mana sebenarnya pekerja berada dalam peta digital.

“Ini membolehkan kita mencegah kemasukan dalam kawasan lapangan terbang,” ujar Encik Ang.

Projek Changi East adalah projek paling bercita-cita tinggi sejak Lapangan Terbang Changi dibuka pada 1 Julai 1981, bagi mengukuhkan status Singapura sebagai hab penerbangan utama bagi trafik serantau dan sejagat.

Apabila kerja binaan dan kerja lain selesai sekitar 2030, saiz Lapangan Terbang Changi akan meningkat seganda untuk meliputi lebih 2,000 hektar.

Projek itu melibatkan pembinaan Terminal 5, yang akan memiliki keupayaan awal menampung sehingga 50 juta penumpang setahun – lebih seganda daripada saiz mana-mana tiga terminal utama sekarang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.