PM: S’pura, Indonesia capai pelbagai kemajuan kerjasama

Berita Harian - - BERITA - ADLI YASHIR KUCHIT adli@sph.com.sg

“Banyak lagi yang boleh dicapai bersama demi manfaat jangka panjang rakyat kita. Saya yakin kerjasama kita akan diperkukuh dan berkembang di masa depan.” – Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura dan Indonesia telah berjaya mencapai pelbagai kemajuan dalam hubungan dua hala di bawah kepimpinan Presiden Joko Widodo, dengan senarai kemajuan itu antara lain merangkumi bidang ekonomi, kebudayaan, pelancongan dan pertahanan.

Bahkan, kerjasama dua hala itu akan diperdalami dan diperkukuh pada tahun-tahun mendatang, kata Encik Lee semasa merumuskan pencapaian Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia di sini semalam.

“Banyak lagi yang boleh dicapai bersama demi manfaat jangka panjang rakyat kita. Saya yakin kerjasama kita akan diperkukuh dan berkembang di masa depan,” kata Encik Lee dalam sidang akhbar bersama Encik Joko, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, di akhir Rahat diadakan di Laguna Luxury Resort.

Presiden Jokowi berkata: “Di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi global, kerjasama ekonomi menjadi fokus perhatian saya dengan PM Lee.”

Encik Lee dan Encik Jokowi telah mengadakan pertemuan empat mata diikuti mesyuarat delegasi menteri kededua negara sebelum mereka menemui media dalam sidang tersebut.

Menyentuh tentang hubungan dua hala, Encik Lee berkata beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Jokowi yang membuahkan hasil mengenai cara untuk memperdalami kerjasama.

“Hubungan ekonomi yang kuat dan banyak hasil khusus daripada Rahat ini mencerminkan keyakinan kami terhadap ekonomi masing-masing dan keinginan mengukuhkan lagi perkongsian kami,” ujar Encik Lee

Dalam rahat tersebut, Singapura dan Indonesia telah bersetuju untuk mendalami kerjasama dalam bidang pelaburan dan ekonomi digital.

Sebagai contoh Perjanjian Pelaburan Dua Hala (BIT) telah dimeterai semalam bagi menggalak aliran pelaburan yang lebih besar ke Indonesia.

Memorandum persefahaman mengenai Industri 4.0 antara Enterprise Singapore dengan Kementerian Industri Indonesia pula ditandatangani untuk mewujudkan peluang belajar bersama demi menghadapi Revolusi Perusahaan Keempat.

Sejumlah tujuh perjanjian dimeterai dalam rahat itu dengan tujuan untuk mempertingkatkan kerjasama Singapura-Indonesia.

Dalam sidang tersebut, Encik Lee turut memberikan perkembangan tentang kerjasama yang telah dimulakan sebelum ini.

Misalnya, Taman Perusahaan Kendal (KIP) yang dilancarkan semasa Rahat 2016 di Semarang semakin berkembang dengan 43 syarikat telah memberikan komitmen dan menanam pelaburan AS$500 juta ($690 juta). Pelaburan itu bakal mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan

Sehubungan itu, politeknik baru di KIP pula akan mengalu-alukan kumpulan pelajar pertama bulan ini.

Begitu juga Taman Digital Nongsa (NDP), yang dilancarkan Menteri Luar kededua negara Mac lalu.

Taman tersebut telah menarik 35 penyewa setakat ini dan berpotensi mewujudkan 700 pekerja mahir dalam industri teknologi tinggi

Ia akan memperkuat peranan Batam sebagai ‘jambatan digital’ antara Indonesia dengan Singapura.

Menyentuh tentang kerjasama pelancongan pula, Presiden Jokowi berkata: Saya dan PM Lee menyambut baik perkembangan kerjasama kedua negara seperti membuka jalur penerbangan Singapura-Toba, Singapura-Belitung.”

Encik Lee pula menambah, tiga jadual pelayaran baru telah ditambah sejak Rahat lalu, yang dijangka boleh membawa lebih 50,000 pelawat ke Bintan, Surabaya, dan Bali Utara menjelang penghujung 2018.

Memandang ke depan, salah satu MOU yang ditandatangani semalam, antara Star Cruises dan Pelindo III, akan menggalak lebih banyak pelayaran dan memudahkan pembangunan pelabuhan Celukan Bawang di Bali, dan meneroka pembangunan pelabuhan lain yang diuruskan oleh Pelindo III, seperti pelabuhan Tanjung Priok.

Bagi menangani ketidaktentuan ekonomi pula, Singapura dan Indonesia sedang merancang urusan kewangan bernilai AS$10 bilion. Satu lagi hasil yang dicapai ialah perkembangan hubungan pertahanan dan keselamatan.

Dalam hal ini, kementerian pertahanan kededua negara sedang bekerjasama melaksanakan inisiatif perkongsian maklumat risikan yang diberi nama ‘Our Eyes Initiative’.

Beralih kepada bencana gempa bumi dan tsunami Sulawesi Tengah pula, Encik Lee telah menyampaikan ucap takziah kepada mangsa sambil berkata: “Singapura berdiri bersama Indonesia dalam masa-masa sukar ini.”

Semalam, Encik Lee turut mengadakan dialog bersama Presiden Bank Dunia Jim Yong Kim dan pertemuan bersama pemimpin Asean.

HUBUNGAN ERAT: Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong (kiri) bersama Presiden Indonesia Encik Joko Widodo sebelum perbincangan dua hala di Bali semalam. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.