Tinjauan: Calon Pakatan Harapan dijangka menang besar

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

PORT DICKSON: Bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkemungkinan memenangi pilihan raya kecil Port Dickson dengan jumlah undi yang tinggi, menurut hasil tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE).

Namun, majoriti itu sukar ditentukan kerana ia bergantung kepada jumlah pengundi yang akan keluar, kata Timbalan Pengerusi IDE, Datuk Redzuan Othman, pada satu taklimat di Port Dickson, kelmarin.

Menurut tinjauan selidik ke atas 1,084 pengundi di Port Dickson yang dijalankan antara 8 hingga 9 Oktober lalu, 74 peratus responden berkata mereka akan mengundi Anwar.

Tinjauan oleh IDE itu mendapati 74 peratus pengundi cenderung memilih calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Anwar, berbanding enam calon lain bagi pilihan raya kecil itu.

Datuk Redzuan berkata sebahagian besar mereka memilih Datuk Anwar kerana Ketua Umum PKR itu bakal menjadi perdana menteri kelapan.

“Pada hari pencalonan Datuk Anwar, 40 peratus (pengundi) mengatakan akan mengundi Anwar Ibrahim kerana ia merupakan bakal perdana menteri yang kelapan.

“Kita melihat pada waktu itu sejauh mana penerimaan masyarakat, kita boleh simpulkan secara umum masyarakat Port Dickson boleh menerima beliau sebagai calon,” ujarnya.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan sama, calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, dijangka menerima 11 peratus diikuti calon bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (10 peratus) dan empat calon bebas lain masing-masing hanya menerima satu peratus sokongan penduduk di Port Dickson.

Calon bebas, Encik Stevie Chan, Encik Lau Seck Yan dan Encik Kang Chee Yuen mungkin memperoleh satu peratus undi manakala seorang lagi calon bebas, Encik Saiful Bukhari Azlan, dijangka kalah teruk.

Dua peratus pengundi lagi masih belum membuat keputusan.

“Kami soal lebih 1,000 orang tetapi gagal untuk mendapatkan seorang pun yang berkata mereka akan mengundi Saiful,” kata Datuk Redzuan.

Selain itu, beliau berkata daripada semua responden bukan Melayu, tiada seorang pun berniat mengundi calon Pas, Leftenan Kolonel Mohd Nazari.

Barisan Nasional (BN) tidak meletak calon pada pilihan raya kecil itu meskipun mereka mendapat 30 peratus undi pada pilihan raya umum lalu

Namun, Datuk Redzuan berkata mungkin masih ada penyokong daripada lebih 75,000 pengundi di Port Dickson yang akan mengundi Encik Saiful tetapi mereka tidak dijumpai dalam sampel kecil sekitar lebih daripada 1,000 responden itu.

Datuk Redzuan berkata gerak kerja yang dilakukan PAS hanya tertumpu di kawasan Melayu iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Linggi dan Bagan Pinang.

Sementara kawasan majoriti Cina dan India, iaitu di DUN Chuah dan Lukut, kurang diberi perhatian menyebabkan calon parti itu kemungkinan besar tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua kaum tersebut, katanya.

Kawasan Parlimen Port Dickson terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus dari sejumlah 77,750 pengundi Port Dickson.

Pilihan raya kecil Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas, bagi membolehkan Datuk Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. – NSTP

DIJANGKA MENANG: Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati Datuk Anwar dijangka boleh menerima lebih 70 peratus undi daripada penduduk Port Dickson. – Foto EPA-EFE

DIJANGKA TEWAS: Calon PAS, Leftenan Kolonel Mohd Nazari (kanan), dijangka menerima 11 peratus diikuti calon bebas Tan Sri Mohd Isa (kiri) yang mungkin menerima 10 peratus. – Foto fail

ENCIK SAIFUL BUKHARI AZLAN: Dijangka kalah teruk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.