Berdekad dalam industri seni, Anuar Zain baru buka akaun Instagram

Berita Harian - - GAH! - HARYANI ISMAIL haryani@sph.com.sg

“Saya sebenarnya berjaga-jaga dalam mendedahkan terlalu banyak kisah peribadi saya buat tatapan umum. Sebabnya, saya anggap diri saya orang biasa sahaja dengan pekerjaan sebagai penyanyi. Tiada yang istimewa sebab saya pun suka bergurau macam orang lain, suka memandu dan pergi ke mesin ATM, ‘cucuk kad’ bagi keluarkan duit! Mungkin orang lihat kita menyanyi di pentas gah dan ia mengagumkan mereka. Apalah yang menarik tentang kehidupan saya untuk ditayangkan di Instagram?”

JIKA bintang mapan lain sudah lama memiliki akaun Instagram dengan jutaan atau ratusan ribu pengikut, Anuar Zain pula baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia Instagram, bulan lalu.

Menyifatkan dirinya sebagai ‘orang lama’ yang lebih selesa menjaga hal peribadi buat pengetahuan sendiri dan orang terdekat dalam hidupnya, pelantun lagu Lelaki Ini memberitahu Gah!:

“Saya sebenarnya berjaga-jaga dalam mendedahkan terlalu banyak kisah peribadi saya buat tatapan umum.

“Sebabnya, saya anggap diri saya orang biasa sahaja dengan pekerjaan sebagai penyanyi. Tiada yang istimewa sebab saya pun suka bergurau macam orang lain, suka memandu dan pergi ke mesin ATM, ‘cucuk kad’ bagi keluarkan duit!

“Mungkin orang lihat kita menyanyi di pentas gah dan ia mengagumkan mereka. Apalah yang menarik tentang kehidupan saya untuk ditayangkan di Instagram?”

Sungguhpun begitu, Anuar, 48 tahun, yang ditemui di Hotel Grand Copthorne Waterfront Singapore, baru-baru ini, mulai menyedari dengan pesatnya dunia media sosial, beliau tidak harus ketinggalan memanfaatkannya demi mendekati lebih ramai peminat.

Katanya yang ke sini di ambang Konsert Anuar Zain Cinta Takkan Berakhir Live In Singapore 2018 di Teater The Star pada 26 Oktober ini:

“Saya jarang menempatkan diri saya sebagai mereka yang teruja ingin mengamati dan tahu tentang dunia seorang artis. Saya mendapatkan pandangan anak buah saya, Ernie Zakri, yang begitu aktif di media sosial bagi mendekati pengikutnya.

“Rasanya, inilah cara orang sekarang. Saya perlu belajar daripada Ernie dan perlahan-lahan menguasai media sosial bagi memahami cita rasa peminat saya dan memasarkan produk saya.

“Ramai teman seangkatan dah ada di media sosial. Cuma saya belum berani buka ruang komen bagi masyarakat siber atau ‘netizen’ menulis pengamatan peribadi mereka.

“Nantilah, apabila saya dah kuatkan semangat untuk membaca satu demi satu komen ‘netizen’, barulah saya buka ‘rumah saya’ itu bagi komen orang ramai.

“Instagram ibarat rumah saya. Saya undang peminat yang positif agar masuk ke ‘rumah’ saya. Kita sokonglah satu sama lain.”

Sebelum adanya akaun ‘anuarzain70’, banyak perkembangan penyanyi yang bermula sebagai bintang cilik lagu Kain Pelikat itu dimuatnaikkan dalam Instagram pihak pengurusannya, ‘anuarzainnetwork’.

Anuar yang telah beberapa kali memenangi Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Penyanyi Popular akui dirinya mudah terkesan dengan apa yang dibaca di media sosial.

“Saya tahu ramai artis dikecam ‘netizen’. Saya cuba untuk tidak membaca komen tentang diri saya agar ia tidak menjejas emosi saya. Berbeza dengan kakak saya, Ziana Zain. Dia memang tak ambil pusing komen orang. Jiwanya kuat.

– Penyanyi, Anuar Zain.

“Ada ‘netizen’ boleh komen sewenang-wenangnya malah berkasar. Ada pula yang dambakan perhatian dan ingin meluahkan segala yang terbuku di hati.

“Saya rasa mereka punyai masalah dalaman yang perlu diatasi sebab tidak senang tentang orang lain. Jadi tunggu sahaja artis selanjutnya yang akan ‘dibahan’,” kongsinya terus terang.

Bagi Anuar, dunia ini sudah terlalu banyak kesedihan dan kucar-kacirnya yang tidak perlu lagi diburukkan dengan kata-kata mengaibkan di alam siber.

Beralih pada konsert yang dibawakan ke Singapura oleh Hype Records, Anuar berharap ia akan dijadikan buah tangan paling manis buat peminatnya.

“Setiap kali buat konsert, saya akan tekankan keistimewaannya buat peminat. Mereka setia menyokong saya. Maka, beberapa lagu diberi susunan baru lebih ‘trendy’ dan segar.

“Saya juga janjikan klip video trilogi persis drama buat peminat. Mereka harus datang bagi menyaksikan klip terakhir selepas Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir.

“Album saya pada 2016 memaparkan lagu yang habis-habisan sedih. Tapi saya terharu apabila ada yang kata lagu-lagu saya mampu merawat luka, memberi ketenangan atau menarik mereka keluar daripada rasa kehilangan dan suram itu. Terima kasih buat peminat,” katanya lagi.

Tiket $228, $188, $158, $128 dan $98 (tidak termasuk yuran tempahan Sistic) bagi Konsert Anuar Zain Cinta Takkan Berakhir Live In Singapore 2018 boleh ditempah di laman, talian dan kaunter Sistic.

TEMPUHI MEDAN MEDIA SOSIAL: Anuar Zain yang baru sahaja membuka akaun Instagram peribadinya bulan lalu sentiasa ingin memahami cita rasa peminatnya sambil berkongsi pengalaman positif. – Foto BH oleh RABIATUL ADAWIYYAH SALEH

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.