Peluang menangi tiket konsert Kenny G

Berita Harian - - GAH! -

TIUPAN saksofon Kenny G yang penuh syahdu lagi menenangkan bakal berkumandang di Teater The Star pada 8 November ini.

Irama balada klasik seperti Songbird dan Forever In Love mahupun yang disuntik dengan unsur eksotik muzik Brazil bakal kedengaran di konsert One Night Only – Kenny G Live In Singapore itu.

Dengan kedatangan pemuzik yang nama sebenarnya adalah Kenneth Gorelick, 62 tahun itu, bulan depan, penganjur konsert CK Star Entertainment ingin menghadiahkan seorang pembaca Berita Harian dengan sepasang tiket.

Setiap tiket Kategori 2 itu berharga $228. Anda hanya perlu menjawab satu soalan mudah mengenai trivia yang diberikan di bawah ini.

Lima perkara yang anda perlu tahu tentang Kenny adalah:

* Beliau dewasa di Seattle dan tertarik dengan alat muzik saksofon selepas menyaksikan satu persembahan di program anekaragam The Ed Sullivan Show.

Kenny kemudian mengikuti kelas muzik pada usia 10 tahun sebelum mencuba nasibnya sebagai anggota band jaz di sekolah menengah.

* Meskipun memiliki kemahiran bermain saksofon yang baik, beliau tetap meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Washington.

Pada masa lapangnya, beliau membuat persembahan bersama beberapa band sebelum menandatangani perjanjian dengan label rakaman Arista Records.

* Lima album pertamanya laris malah menjadi lagu yang kerap diputarkan di corong radio. Sungguhpun begitu, album keenam iaitu Breathless kekal sebagai album muzik instrumental paling laris di pasaran. Sehingga ke hari ini, sudah 12 juta album tersebut terjual.

* Kenny adalah pemegang rekod dunia bagi pemain saksofon yang mampu meniup nota terpanjang pada 1997. Beliau menggunakan teknik yang dipanggil pernafasan berlingkaran atau circular breathing.

Dengan teknik itu, beliau boleh bermain saksofon dan menarik nafas sekali gus selama 45 minit, 47 saat.

*Kenny amat popular di China. Salah sebuah lagunya, Going Home, dirakam bagi album secara langsung pada 1989. Ia kemudian digunakan sebagai lagu isyarat penamat waktu perniagaan di stesen kereta api, pusat beli-belah, kelab kesihatan dan beberapa tempat riadah lain di China.

Justeru itu, jika anda ingin nikmati persembahan pemuzik yang sudah berkecimpung dalam bidang ini selama tiga dekad, jawab soalan berikut.

Soalan: Program apakah yang mencetus minat Kenny G terhadap saksofon?

Kirimkan jawapan anda kepada bhgah@sph.com.sg selewat-lewatnya Isnin ini.

Sertakan nama penuh, alamat, usia, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit anda.

Bagi yang ingin menonton konsert ini, tiket antara $78 dengan $328 (bertemu Kenny G) boleh ditempah di talian, laman dan kaunter Sistic.

BINA KERJAYA DARI CINTA MUZIK: Kenny G merupakan lulusan perakaunan yang menjadikan permainan saksofon sebagai kerjaya cari makan dan jentera kepopularan di merata dunia. – Foto WELLMONTTHEATER

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.