Ratu renang para S’pura menang pingat ketiga

Berita Harian - - GAH! -

YIP Pin Xu meraih pingat ketiganya kelmarin, mengakhiri Sukan Para Asia tahun ini dengan satu pingat gangsa dalam acara renang kuak bebas wanita bagi jarak 50 meter S4 (1-4).

Beliau mencecah garis penamat dengan masa satu minit 4.68 saat di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno di Jakarta, di belakang pemenang acara itu, Peng Qiuping dari China (43.48 saat) dan Gabidullina Zulfiya dari Kazakhstan (45.51) yang menduduki tempat kedua.

Isnin lalu, Yip meraih emas dalam acara kuak lentang 50 meter S4 (S1-4) dan satu lagi pingat gangsa dalam kuak bebas 100 meter S4 (S1-4) keesokan harinya, lapor The Straits Time semalam.

Perenang berusia 26 tahun itu, yang mengalami masalah distrofi muskular/otot, berkata pingat-pingat yang diperolehinya memberinya motivasi yang beliau berada di landasan yang betul bagi persiapan menjelang Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

“Ia satu renang baik dan saya bangga saya dapat lakukannya,” kata Yip yang merupakan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) termuda yang dilantik untuk tempoh dua penggal setengah, bulan lalu.

“Ia merupakan lima hari yang amat memenatkan tetapi amat berbaloi.

“Bergerak bersama pasukan ini merupakan satu pengalaman yang amat baik.

“Saya telah lihat semua orang berlatih keras dan kami meraih masa peribadi yang baik, pingat dan berenang dengan baik.

“Semuanya telah membuahkan hasil.

“Semua orang layak bercuti singkat sebelum kami mula berlatih dengan lebih keras.”

Rakan baiknya, Theresa Goh, mencapai masa terbaiknya untuk musim ini dengan masa 49.29 saat untuk menduduki tempat keempat dalam acara kuak bebas 50 meter S5.

Acara tersebut dimenangi peserta China, Yao Chuan dengan masa 38.98 saat.

Sejauh ini, Team Singapore telah meraih tiga pingat emas – dua daripada perenang Toh Wei Soong – serta satu perak dan lima gangsa di acara tersebut yang dijadual berakhir hari ini.

Toh meraih emas dalam acara 50 meter lelaki kuak bebas S7 Ahad lalu dan 100 meter lelaki kuak bebas S7 Selasa lalu.

Rabu lalu, Toh juga memenangi pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki kuak lentang S7, dengan masa peribadi terbaik (satu minit 20.21 saat).

Pesaingnya dari Jepun, Ejima Daisuke dan peserta Filipina, Gawilan Ernie, meraih emas dengan masa yang sama, satu minit 19.9 saat.

MASING-MASING RAIH TIGA PINGAT: Toh Wei Soong (kiri) dan Yip Pin Xiu masing-masing telah memenangi tiga pingat di Sukan Para Asia tahun ini. – Foto-foto SPORTSG

RAIH PINGAT: Yip Pin Xiu sewaktu beraksi di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno di Jakarta

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.